BERNAMA

Miri: Seakan-akan filem ‘Home Alone' lakonan Macaulay Culkin yang popular pada 1990 mengenai seorang budak lelaki tertinggal sendirian di rumah ketika cuti Krismas, satu keluarga dari Brunei juga mengalami nasib sama, tertinggal anak lelaki mereka di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Orang ramai menemui kanak-kanak lelaki itu merayau bersendirian di kompleks berkenaan kira-kira 6 petang dan memaklumkan kepada polis yang kemudian membawa kanak-kanak berkenaan ke Balai Polis Pusat Miri.

Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, keluarganya tidak menyedari anak mereka tiada, terus menaiki kenderaan bersama-sama empat lagi anak.

"Bapa berusia 46 tahun itu, penjawat awam di Brunei, hanya menyedari anak lelakinya tiada dalam kereta selepas 10 minit beredar dari pusat beli-belah itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu kembali mencari anaknya namun dimaklumkan pengawal keselamatan, anaknya sudah dibawa ke balai polis.

Khoo berkata, lelaki itu mengambil anaknya di balai polis pada 7.30 malam selepas mengemukakan pasport anak lelakinya.

Kejadian itu berakhir dengan kegembiraan, terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan anggota polis Miri.

Gambar kanak-kanak itu viral di media sosial malam tadi selepas berita mengenai kehilangan kanak-kanak warga Brunei itu disebarkan secara meluas.

Akhir Disember adalah tempoh paling sibuk di Miri kerana ramai kakitangan kerajaan dari Brunei datang membeli-belah dan menghabiskan cuti mereka di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 6:53 PM