BERNAMA

Miri: Polis menahan seorang mekanik kereta berusia 23 tahun kerana membuat catatan palsu dalam Facebook mendakwa seorang wanita dirogol dan dibunuh di bandar raya ini.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, suspek dari Long Atap, Akah Ulu Baram, ditahan di sini, pada 11.30 malam tadi berikutan laporan polis dibuat selepas catatan itu tular di media sosial.

“Polis melakukan siasatan dan mendapati catatan itu adalah palsu kerana tiada kes rogol dan bunuh berlaku di bandar raya Miri semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, telefon bimbit suspek turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata, suspek dan pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Ody Chica Rito' memuat naik gambar seorang wanita ditemui terbaring dalam keadaan bogel di tengah jalan di sini, semalam.

Khoo berkata, suspek juga memuat naik gambar itu di laman Facebook Miri Community II dan Miri City Community semalam, sehingga menyebabkan imej itu tular di media sosial.

Pemilik akaun Facebook itu mendakwa mangsa dirogol dan dibunuh sebelum dicampak berdekatan sebuah restoran makanan segera di bandar raya ini.

Katanya, catatan palsu itu menimbulkan kebimbangan dan panik dalam kalangan orang awam.

Menurutnya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat catatan palsu di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 10:28 AM