GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Miri: Polis menahan lelaki warga Indonesia disyaki suspek utama kes pembunuhan pembantu pengurus projek di Bekenu, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan pada 5.15 petang semalam di tepi jalan Kampung Skrat, KM124 Jalan Pesisir Miri-Bintulu.

"Susulan tangkapan itu, polis merampas sebilah pisau badek berukuran 19 sentimeter berserta hulu dan sarung di rumah di kebun kelapa sawit di kawasan Batu Niah pada 10 malam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khoo berkata, polis akan membuat permohonan perintah tahanan reman terhadap suspek pada hari ini untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian 8 malam Sabtu lalu, mangsa, Yusuf Sidani, 45, berasal dari Sabah, dibunuh di hadapan kedai snuker di Kampung Kayu Kapur, Bekenu, manakala dua lagi lelaki warga Indonesia turut cedera akibat serangan menggunakan senjata tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 11:10 AM