GURU subjek bahasa Inggeris juga akan diberi latihan di  ELTC.  - Gambar hiasan
GURU subjek bahasa Inggeris juga akan diberi latihan di ELTC. - Gambar hiasan
PENGAJIAN bahasa Inggeris berasaskan dalam talian diperkenalkan melalui Program CATs. - Gambar hiasan
PENGAJIAN bahasa Inggeris berasaskan dalam talian diperkenalkan melalui Program CATs. - Gambar hiasan
CATs bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sama ada sekolah rendah atau menengah. -Gambar hiasan
CATs bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sama ada sekolah rendah atau menengah. -Gambar hiasan
PENGUASAAN bahasa Inggeris penting untuk memenuhi keperluan pekerjaan pada masa sekarang.- Sumber google
PENGUASAAN bahasa Inggeris penting untuk memenuhi keperluan pekerjaan pada masa sekarang.- Sumber google
MURID sekolah rendah turut terbabit dengan Program CATs.- Gambar hiasan
MURID sekolah rendah turut terbabit dengan Program CATs.- Gambar hiasan
Fazurawati Che Lah


Sejak sekian lama, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sering menjadi perbincangan, sedangkan pelbagai pendekatan sudah diambil namun, hasilnya belum memuaskan.

Ada pihak berpendapat kelemahan itu berpunca daripada pelajar itu sendiri, namun ada juga mengatakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) oleh guru yang kurang berkesan menjadi punca.

Biarpun masih banyak faktor boleh menyumbang kepada masalah itu, meletakkan kesalahan pada guru semata-mata dilihat lebih mendominasi pendapat dilemparkan.

Walaupun pelbagai langkah sudah diambil oleh Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah itu, kemampuan pelajar menguasai bahasa Inggeris terus meragukan, sekali gus memaksa pihak berkenaan terus mencari pelbagai mekanisme untuk mengatasinya.

Terbaru Kementerian Pendidikan memperkenalkan Ujian Pencapaian Cambridge (CATs) sebagai satu kaedah tambahan pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan terutama dalam kalangan murid dan pelajar luar bandar.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek rintis bagi kaedah pembelajaran yang menggunakan aplikasi dalam talian ini akan dilaksanakan hujung tahun ini membabitkan 40 sekolah rendah dan menengah di luar bandar yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.

“Program ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi selepas melihat keberkesanan projek rintis berkenaan.

“Langkah ini antara strategi Kementerian Pendidikan untuk membantu meningkatkan penguasaan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di luar bandar,” katanya.

Mahdzir berkata, reka bentuk CATs dibangunkan Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT) dan ia sedia dilaksanakan, malah guru subjek bahasa Inggeris juga akan diberi latihan di Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC).

CATs akan mengukur kebolehan murid dan pelajar menggunakan bahasa Inggeris sama ada dengan membaca, menulis dan mendengar.

Sementara itu, Pengarah Pusat Bahasa dan Pengajian Umum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) M Sasigaran berkata, Program CATs adalah satu inisiatif baik daripada kerajaan dalam membantu pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah termasuk penuntut pendidikan tinggi.

Menurut beliau, Program CATs ini menjadi platform yang menyokong kurikulum sedia ada bagi membantu guru mempertingkatkan penguasaan bahasa kedua itu kepada pelajar.

Katanya, program itu yang digunakan secara online atau offline menggunakan telefon pintar, komputer riba, tablet atau komputer menyediakan satu ruang pembelajaran kendiri atas talian yang berisiko rendah kepada pelajar.

“Ini kerana program ini dirangka dengan teliti bagi membantu pelajar belajar dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa perlu bersaing dengan pelajar lain.

“Selain itu, program ini juga diselarikan dengan Common European Framework of Reference (CEFR) iaitu satu panduan pengelasan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar apabila Program CATs dapat membantu pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris secara berperingkat dan selaras dengan standard antarabangsa,” katanya.

Jelas Sasigaran lagi, CATs dibina bukan sahaja untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, malah program ini juga sesuai digunakan untuk penuntut di peringkat pendidikan tinggi.

“Jika dilihat daripada pencapaian pelajar di peperiksaan awam dan sebagainya, pelajar menunjukkan peningkatan pencapaian yang amat baik dalam bahasa Inggeris.

“Lebih banyak lagi usaha perlu dipergiatkan bagi melonjakkan lagi tahap penguasaan sedia ada pelajar dan program CATs ini akan menjadi salah satu inisiatif kerajaan bagi mencapai hasrat terbabit,” katanya.

Sasigaran percaya, program CATs dapat membantu pelajar dalam memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris mereka kerana kelebihan program ini memungkinkan pelajar membuat latihan dan belajar bahasa Inggeris pada bila-bila masa menggunakan gajet dan secara tidak langsung menyumbang kepada penguasaan bahasa asing itu.

“Tetapi harus diingat program ini tidak sama sekali dapat menggantikan peranan guru. Program CATs ini hanya berfungsi sebagai satu platform pembelajaran tambahan kepada pelajar,” tegasnya.

Mengulas mengenai penguasan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negara ini, beliau berkata, ia masih di tahap kurang memuaskan.

“Salah satu punca yang mungkin menyumbang kepada tahap itu disebabkan kurangnya persekitaran yang menyokong penggunaan bahasa itu.

“Majoriti pelajar kemungkinan besar hanya mengunakan bahasa Inggeris semasa mengikuti subjek berkenaan di kelas dan tidak menggunakan di luar bilik darjah. Kekurangan praktis sedikit sebanyak menyebabkan perkara ini berlaku,” katanya.

Malah katanya, graduan juga berkemungkinan besar akan menghadapi masalah menembusi pasaran kerja di dalam dan di luar negara sekiranya lemah dalam bahasa itu.

Bukan itu sahaja, graduan juga akan menghadapi masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Kita perlu ingat penguasaan bahasa kedua penting dalam mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan dan sebagainya, tetapi pada masa sama kepentingan bahasa kebangsaan tidak boleh diperlekehkan.

“Saya berharap program CATs ini dapat berfungsi sebagai suatu wadah tambahan bagi membantu guru mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:06 PM