USAHA memupuk minat pelajar terhadap bahasa Inggeris perlu dilakukan sejak awal. - Gambar hiasan
USAHA memupuk minat pelajar terhadap bahasa Inggeris perlu dilakukan sejak awal. - Gambar hiasan
PENERANGAN yang betul perlu diberikan kepada guru bahasa Inggeris kerana mereka pengantara utama PdP kepada pelajar.
PENERANGAN yang betul perlu diberikan kepada guru bahasa Inggeris kerana mereka pengantara utama PdP kepada pelajar.
PENGGUNAAN teknologi antara kaedah berkesan untuk meningkatkan kemahiran guru menguasai bahasa Inggeris. - Gambar hiasan
PENGGUNAAN teknologi antara kaedah berkesan untuk meningkatkan kemahiran guru menguasai bahasa Inggeris. - Gambar hiasan
Ainal Marhaton Abd Ghani


Sejak sekian lama, kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sering menjadi perbincangan.

Ada pihak berpendapat kelemahan itu berpunca daripada pelajar, namun ada juga mengatakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) oleh guru yang kurang berkesan menjadi punca.

Biarpun masih banyak faktor boleh menyumbang kepada masalah itu, meletakkan kesalahan pada guru semata-mata dilihat lebih mendominasi pendapat dilemparkan.

Walaupun pelbagai langkah dilaksanakan Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah itu, kemampuan pelajar menguasai bahasa Inggeris terus meragukan, sekali gus memaksa pihak berkenaan terus mencari pelbagai mekanisme untuk mengatasinya.

Menyedari tanggungjawab itu tidak wajar diletakkan kepada Kementerian Pendidikan semata-mata, inisiatif Yayasan Pahang (YP) menganjurkan Persidangan Guru Bahasa Inggeris (SPELT-C) 2016 dilihat usaha yang dapat membantu meningkatkan tahap penguasaan dan penggunaan bahasa itu.

Pengurus Besar YP Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, program itu mampu memberi maklumat berguna kepada guru untuk meningkatkan kemahiran PdP bahasa Inggeris di dalam kelas.

Menurutnya, langkah meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris terlatih mengikut spesifikasi kurikulum terkini membantu memperkukuhkan kaedah penyampaian berkesan, sekali gus dapat menangani kepincangan sebelum ini.

“Usaha memperkasa bahasa Inggeris kepada guru yang mengajar subjek berkenaan tidak akan membuahkan hasil jika mereka sendiri tidak memulakan inisiatif untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa berkenaan.

“Inisiatif perlu diambil kerana jika kita lebih berpengetahuan dalam penggunaan bahasa Inggeris, pelajar juga mendapat manfaat dan lebih berkeyakinan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa itu,” katanya.

Mahmud berkata, bukan suatu perkara mudah mencari kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan menerusi PdP bagi mengelak pelajar tertekan kerana kesukaran memahami bahasa itu.

“Mengambil kira faktor kurang minat dan kesukaran menyusun ayat dalam perbualan, tata bahasa dan sebagainya, pelajar lemah akan terus ketinggalan kerana kerana gagal menguasai bahasa itu.

“Sebab itu penting memberi tumpuan kepada guru yang mengajar subjek ini kerana mereka menjadi teras dalam penghayatan, pemahaman dan penerimaan pelajar.

“Dengan kata lain, untuk menguasai bahasa Inggeris, guru dan pelajar perlu seiring bagi memudahkan PdP,” katanya.

Seramai 500 guru Bahasa Inggeris sekolah rendah dan menengah dari seluruh Pahang menghadiri persidangan itu yang secara tidak langsung menjadi platform kepada cendekiawan, pendidik dan guru berkongsi idea dan bertukar pengalaman dalam aspek PdP bahasa Inggeris.

Sebanyak 45 kertas kerja dan lima bengkel dibentangkan pada persidangan yang bertemakan Gerbang Pendidikan Berkualiti Bahasa Inggeris: Inovasi, Kreatif dan Perkongsian Pintar.

Pembentangan itu membabitkan kemahiran, perbendaharaan kata dan pengajaran tatabahasa, pengurusan kelas, pembinaan keyakinan, rutin dan idea kreatif lain seperti permainan, podcast dan puisi.

Dua penceramah jemputan, Prof Dr Zuraidah Mohd Don dari Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM) dan Prof Dr Jayakaran Mukundan dari Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa Universiti Putra Malaysia (UPM) turut diundang.

Sementara itu, Dr Zuraidah berkata, kaedah penyampaian berkesan, pengenalan subjek Kesusasteraan Inggeris (English Literature) boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selain melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam PdP bahasa Inggeris

“Dari satu aspek, kelemahan menguasai bahasa Inggeris lebih cenderung dalam kalangan pelajar, tapi hakikatnya, ramai juga guru mengalami masalah serupa.

“Sangat penting guru menguasai bahasa ini kerana mereka yang menyampaikan ilmu ini kepada pelajar. Jika tidak dapat menguasai bahasa ini dengan baik, sesi PdP akan turut terjejas.

“Sebab itu, guru ini perlu didedahkan dengan program yang boleh meningkatkan keupayaan mereka di samping mengambil inisiatif sendiri untuk memperbaiki pencapaian diri,” katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan.

“Kita sudah tiada banyak masa untuk terus menilai kelemahan sedia ada kerana proses globalisasi berlaku sangat pantas.

“Keupayaan negara melahirkan modal insan menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik. Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris SK Denai, Rompin, Muhammad Fitri Ahmad, 26, berkata, SPELT-C antara program terbaik kerana dapat mengumpulkan guru Bahasa Inggeris dari seluruh Pahang untuk berkongsi amalan berkesan PdP subjek itu.

“Perkongsian seperti ini dapat mencambah idea dan kreativiti guru dalam melaksanakan PdP lebih menarik dan berkesan,” katanya.

Menurutnya, mengajar di sekolah Orang Asli menuntut komitmen sangat tinggi kerana terlalu banyak perbezaan dari segi daya pemikiran dan penerimaan proses PdP.

“Saya mengambil pendekatan teknik Whellington iaitu sejenis permainan bahasa menggunakan model Manuka sebagai asas permainan.

“Teknik ini membantu pelajar menulis ayat dalam bahasa Inggeris dengan baik tanpa kesalahan tatabahasa ketara,” katanya.

Seorang lagi guru sekolah Orang Asli di SK Bukit Serok, Rompin, Nur Izzatul Husna Yusoff, 27, berkata, persidangan itu memberi peluang kepada warga pendidik yangg mengajar bahasa Inggeris bertukar pandangan mengenai teknik atau inovasi dalam pendidikan.

“Peserta boleh melihat kaedah PdP dari sekolah berbeza dan bagaimana mereka mempraktikkan teknik atau kaedah meningkatkan tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris kepada pelajar dengan berkesan,” katanya.

Nur Fatin Nadiera Lahazir,25, dari SK Felda Kg Sertik, Bentong, pula berkata, SPELT-C platform berkesan kepada guru berkongsi idea dan teknik pengajaran yang kreatif dan inovatif.

“Usaha ini dapat membantu guru menyediakan sesi PdP yang menarik, sekali gus meningkatkan prestasi dan tahap penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar,” katanya.

Beliau baru dua tahun mengajar menggunakan teknik ‘Side-Hop Blending’ iaitu kaedah membantu pelajar menggabung bunyi huruf menjadi satu perkataan bahasa Inggeris.

“Teknik ini terbukti dapat membantu pelajar membaca perkataan dan ayat dalam bahasa Inggeris kerana ia menyeronokkan dan mampu merangsang mereka untuk terus membaca,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 1:50 PM