MURID SK Cherating tekun melakukan aktiviti ketika mengikuti bengkel NIE. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
MURID SK Cherating tekun melakukan aktiviti ketika mengikuti bengkel NIE. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


PENGGUNAAN akhbar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Bahasa Inggeris berkesan membantu meningkatkan prestasi pelajar dalam bahasa itu.

Ia juga adalah antara alternatif terbaik bagi membantu tugas guru melaksanakan tanggungjawab yang lebih berkesan dengan mengambil pendekatan berbeza dan kreatif dalam usaha meningkatkan kualiti P&P dalam bilik darjah.

Justeru, program Akhbar Dalam Pendidikan: Newspaper-in-Education (NIE) dilihat sebagai nilai tambah kepada guru sebagai usaha menjadikan suasana di bilik darjah lebih ceria, aktif dan menarik, sekali gus merangsang minat pelajar untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, Khairul Azizi Ab Aziz berkata, tanpa mengetepikan peranan buku teks, akhbar mengandungi banyak bahan seperti gambar, berita, rencana, grafik dan iklan yang dapat merangsang minda murid dalam usaha membantu memahami dan menguasai Bahasa Inggeris.

Katanya, guru Bahasa Inggeris sekolah itu menggunakan surat khabar The New Straits Times (NST) semaksimum mungkin sebagai bahan bantu mengajar yang efektif sekurang-kurangnya sekali seminggu dan hasil kerja mereka akan dipamerkan di galeri untuk di kongsi bersama murid lain.

"Akhbar ini menyediakan bahan sokongan kepada proses pembelajaran kerana ia adalah sumber maklumat yang sangat bagus merangkumi pelbagai topik.

"Ada kalangan mereka yang tiada latar belakang Bahasa Inggeris dan tidak menggunakan bahasa itu di rumah, justeru program NIE dan penggunaan akhbar NST ini juga dapat membantu murid meningkatkan kemahiran membaca dan menambah perbendaharaan kata mereka," katanya ketika ditemui sempena ceramah motivasi dan bengkel NIE-NST di SK Cherating, dekat Kuantan, hari ini.

Seramai 120 murid Tahun Lima dan Enam menyertai bengkel dua hari sejak semalam dengan pelbagai pengisian seperti ceramah motivasi, kaedah penggunaan akhbar, penguasaan bahasa Inggeris dan latihan pengucapan bahasa Inggeris.

SK Cherating adalah sekolah angkat Media Prima Berhad (MPB) sejak 2012 dan pelbagai program dilaksanakan seperti Bengkel English UPSR (NIE),Seminar Bimbingan Peperiksaan BH dan kelas tambahan dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik seterusnya mencatat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) September ini.

Sementara itu, murid Tahun Enam sekolah itu, Khairul Hakimi Mohd Yunus, 12, berkata, bengkel NIE itu dapat membantunya menguasai dan meningkatkan lagi tahap penguasaan bahasa Inggeris.

"Bengkel ini menggunakan 100 peratus bahasa Inggeris dan mahu atau tidak, kami perlu bertutur dalam bahasa itu walaupun berlaku kesilapan.

"Penggunaan akhbar dengan mencari perkataan, menggunting dan menampal sebagai sebahagian aktiviti memberi kami peluang untuk menambah baik apa yang kurang ketika di dalam kelas," katanya.

Rakannya, Siti Arini Andriyana Mohd Zafaim, 12, berusaha membaiki kesilapan dalam penggunaan nahu dan struktur ayat ketika menulis karangan.

"Penggunaan akhbar NST secara menyeluruh termasuk sisipan banyak memberi kelebihan kepada kami untuk lebih memahami dan membantu meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris terutama untuk persediaan menduduki UPSR.

"Penggunaan akhbar menjadikan suasana pembelajaran di bilik darjah tidak membosankan selain kandungannya yang pelbagai dapat menambah pengetahuan dan ilmu untuk bekalan menghadapi UPSR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 1:42 PM