PROSES pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti dalam bilik darjah lebih menyeronokkan dan interaktif. FOTO Owee Ah Chun
PROSES pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti dalam bilik darjah lebih menyeronokkan dan interaktif. FOTO Owee Ah Chun
Zahratulhayat Mat Arif

Ipoh: “Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan berjaya menanam minat dan kesedaran murid mengenai kepentingan penggunaan bahasa Inggeris,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong, Ahmad Kamari Salleh.

Secara jujur, Ahmad Kamari berharap program seperti itu diperkasa setiap tahun kerana ia membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, sekali gus meningkatkan keyakinan dalam diri mereka.

“Program ini unik kerana mengiktiraf bahasa Inggeris dan memberi kuasa kepada pihak sekolah merancang dan melaksanakan pelbagai program dengan kapasiti tersendiri seperti di sini, murid berucap dalam bahasa berkenaan di hadapan guru dan murid lain ketika waktu perhimpunan sekolah.

“Kejayaan program ini hasil usaha guru, ibu bapa dan komuniti yang secara langsung terbabit dalam pelbagai aktiviti di sekolah bagi membantu mewujudkan minat bahasa Inggeris dalam kalangan murid,” katanya.

Bapa pelajar, Kamal Azzaynee Mustafa, 36, pula berkata, penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran jelas membina keyakinan kepada murid untuk bercakap dalam bahasa berkenaan.

“Program ini menambah penguasaan bahasa Inggeris dalam diri mereka dan tidak menolak bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil. Ini kerana bahasa Inggeris selalu menjadi bahasa kedua kepada bahasa Malaysia, Mandarin atau Tamil,” katanya.

MURID mampu kuasai perkataan baru daripada bahasa Inggeris. FOTO Faiz Anuar
MURID mampu kuasai perkataan baru daripada bahasa Inggeris. FOTO Faiz Anuar

Murid tahun enam, Firzana Amani Amin Sabri, berkata proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti yang dijalankan dalam bilik darjah adalah lebih menyeronokkan dan interaktif.

“Setiap hari, saya dapat mengetahui dan menguasai satu perkataan baru daripada bahasa Inggeris dan ini akan membantu saya untuk menambah pengetahuan dan perbendaharaan kata saya juga,” katanya.

Turut berkongsi minat sama ialah murid tahun lima, Muhd Amir Akmal Kamarul Baharin yang menggambarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran lebih senang dan mudah difahami.

“Saya suka bahasa Inggeris dan dengan adanya program ini, suatu hari nanti, penguasaan dan kefasihan saya dalam penggunaan bahasa ini membantu saya untuk mendapat kerja lebih baik,” katanya.

Cemerlang bukan omong kosong

Terus menyerlah. Itu hakikat yang tidak dapat disangkal apabila melihat kepesatan pembangunan bidang pendidikan negara, terutama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apa tidaknya, ia adalah realiti testimoni yang tidak mampu disanggah yang menunjukkan hasil komitmen kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik dan tindakan progresif.

Peningkatan peluang, kemudahan dan kualiti tinggi pendidikan dikecapi segenap lapisan rakyat ini, malah diperakui banyak pengiktirafan antarabangsa, sudah cukup membuktikan kerajaan bukan sekadar mencanang omong kosong mahupun menabur janji manis untuk meraih populariti.

Realiti itu turut didukung fakta jelas dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, baru-baru ini.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pencapaian itu amat signifikan kepada seluruh masyarakat.

Katanya, rakyat kini tidak lagi mudah disogokkan janji manis semata-mata tanpa bukti perancangan dan pelaksanaan yang membuahkan hasil menggembirakan mereka.

“Kerajaan berjaya menunjukkan janji diberi bukan sekadar janji, tetapi janji dikotakan dengan bukti kukuh dan hasil positif.

“Ini memberi keyakinan kepada masyarakat perkara disebut dan diusahakan kerajaan adalah realistik bersama inisiatif bagus, bukan angan-angan untuk menarik minat atau pujian semata-mata,” katanya.

Justeru, Mohammad Shatar berkata, sokongan padu perlu diberi kepada kerajaan bagi meneruskan legasi kecemerlangan itu demi faedah dan kepentingan generasi akan datang.

“Amat menyedihkan jika sekian banyak pelaburan, strategi dan inisiatif dilaksanakan kerajaan ini terputus di tengah jalan kerana nasib rakyat secara umum bergantung pada tahap penekanan terhadap pendidikan.

“Kita tahu pendidikan mampu mengubah segala-galanya. Oleh itu, usaha kerajaan ini perlu diberi penghargaan dan diteruskan bagi melestari kecemerlangan serta kemajuan pendidikan, sekali gus mencapai matlamat agenda transformasi negara,” katanya.

DR Mohammad Shatar. FOTO NSTP
DR Mohammad Shatar. FOTO NSTP

Sementara itu, tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, kerajaan jelas menekankan fokus utama terhadap kepentingan pendidikan dengan memberi peruntukan terbesar kepada bidang itu dalam bajet negara setiap tahun.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) berkata, kerajaan cukup prihatin memastikan rakyat menikmati pembangunan pendidikan berkualiti tinggi.

“Kerajaan membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dengan harapan ia membuahkan pulangan positif masa depan.

“Yang penting, rakyat mendapat pendidikan terbaik kerana ia menjadi asas untuk menyumbang ke arah pembangunan negara.

“Kita menuju ke tahap majoriti rakyat berpendidikan tinggi. Apabila tahap itu dicapai nanti, ia akan memberi manfaat besar kepada negara,” katanya.

Hasil pelaksanaan NTP menyaksikan impak positif terhadap daya saing murid melalui Program Dwibahasa (DLP).

Skor Bahasa Inggeris meningkat 36.4 peratus dalam kalangan murid sekolah rendah manakala pelajar sekolah menengah pula 46.4 peratus bagi peperiksaan akhir tahun subjek itu.

Sebanyak 1,214 sekolah membabitkan 129,8859 pelajar mengikuti program itu tahun lalu, berbanding hanya 378 sekolah pada 2016.

Kementerian Pendidikan turut memberi tumpuan terhadap pelaksanaan sesi latihan intensif untuk guru Bahasa Inggeris.

Setakat ini, 34 peratus guru Bahasa Inggeris di seluruh negara sudah mencapai tahap penguasaan minimum C1.

Selain itu, negara kini menjadi destinasi pilihan penuntut antarabangsa dengan lebih 170,068 pelajar berkenaan mengikuti pengajian di pelbagai institusi tahun lalu, sekali gus menjadikan Malaysia peneraju global untuk pendidikan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, 136,293 pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi, sekolah dan pusat bahasa (33,031), serta institusi teknikal dan vokasional (744).

Malaysia juga menjadi pilihan sebagai hab pendidikan global dengan adanya 11 kampus cawangan universiti bertaraf dunia, iaitu Nottingham University, Reading University, Xiamen University, Heriot-Watt University, Curtin University, Monash University, Raffles University, Asia School of Business, University of Southampton, Newcastle University of Medicine, dan Swinburne University of Technology.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 5:50 AM