IZZUE sedia jadi ‘orang jahat’ lagi.
IZZUE sedia jadi ‘orang jahat’ lagi.
Michelle Gun

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Izzue Islam lakonannya sebagai Amzar dalam drama Patahnya Sebelah Sayap berjaya meninggalkan kesan kepada penonton, sekali gus melayakkan dia menerima Antagonis Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017, baru-baru ini.

Menurut Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, watak antagonis bukan mudah kerana perlu berusaha memastikan lakonannya memberi impak mendalam kepada penonton.

“Semua orang mungkin boleh berlakon watak jahat, namun paling penting bagaimana ia boleh menyentuh perasaan penonton dan membuatkan mereka berasa menyampah.

“Pada mulanya, penonton sukakan Amzar kerana dia nampak baik, namun perasaan itu bertukar kepada benci apabila dia mula berubah menjadi jahat.

“Sebagai rujukan, saya menonton beberapa karya dalam dan juga luar negara yang mengetengahkan watak antagonis agar boleh memberikan sumber inspirasi kepada diri saya,” katanya kepada BLING!

Izzue yang juga penyanyi kumpulan Forteen berkata, dia sedia menjadi ‘orang jahat’ lagi sekiranya menerima tawaran watak antagonis selepas ini.

“Saya tidak kisah membawa watak jahat atau apa-apa sekalipun kerana saya minat berlakon.

“Seperti dalam Patahnya Sebelah Sayap, saya akan cuba memberi komitmen terbaik kepada lakonan seterusnya,” kata Izzue.

Dalam pada itu, Izzue memberitahu, dia mendedikasikan trofi anugerah berkenaan kepada semua peminatnya sebagai tanda penghargaan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan dengan mengundi nama saya setiap hari.

“Saya anggap ini semua sebagai rezeki dan mahu berkongsi anugerah berkenaan bersama mereka di luar sana,” ujarnya lagi.

Mengenai karier nyanyian­nya pula, Izzue memberitahu dia baru mengeluarkan single solo berjudul Bimbang serta lagu baru, Apa Ini Cinta bersama Forteen.

“Saya juga sibuk dengan penggambaran drama 20 episod Din Sardin untuk TV9. Selain itu, saya juga menerima tawaran filem, namun akan berkongsi maklumatnya apabila memulakan penggambaran nanti,” katanya dengan nada gembira dan bersyukur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 9:56 AM