PASUKAN keselamatan Afghanistan mengambil bahagian dalam operasi memerangi Daish di daerah Achin semalam selepas tentera Amerika Syarikat menggugurkan kawasan itu dengan ‘ibu segala bom’ sehari sebelum itu.  - AFP
PASUKAN keselamatan Afghanistan mengambil bahagian dalam operasi memerangi Daish di daerah Achin semalam selepas tentera Amerika Syarikat menggugurkan kawasan itu dengan ‘ibu segala bom’ sehari sebelum itu. - AFP
BOM GBU-43/B yang juga dikenali sebagai ‘ibu segala bom.’ - Reuters
BOM GBU-43/B yang juga dikenali sebagai ‘ibu segala bom.’ - Reuters
Agensi

Jalalabad: Kementerian Pertahanan Afghanistan semalam berkata, 36 militan Daish terbunuh selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom bukan nuklear terbesarnya, menyasarkan tempat persembunyian kumpulan berkenaan di kawasan pergunungan di timur negara itu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu juga berkata, kekuatan letupan bom berkenaan tidak menyebabkan kematian orang awam.

Bom itu yang dikenali secara rasmi sebagai GBU-43/B dan digelar ‘ibu segala bom’ digugurkan di kedudukan Daish di daerah Achin di wilayah Nangarhar pada jam 7,32 malam (waktu tempatan).

Ini kali pertama bom itu digunakan dalam peperangan oleh tentera Amerika Syarikat dan ia dijangka melemahkan kekuatan Daish di Afghanistan di samping memberi amaran kepada Taliban menjelang kempen serangan mereka menjelang musim bunga ini.

Serangan itu dilakukan seminggu selepas Presiden AS, Donald Trump mengarahkan serangan peluru berpandu terhadap sebuah pangkalan udara di Syria sebagai tindak balas terhadap serangan senjata kimia yang didakwa dilakukan tentera kerajaan Presiden Bashar Al-Assad.

Tindakan mengebom tempat persembunyian Daish di Afghanistan itu juga dilakukan ketika China memberi amaran mengenai potensi konflik berikutan ketegangan di semenanjung Korea.

“Kesan daripada pengeboman semalam (kelmarin), tempat persembunyian utama Daish musnah dan 36 anggotanya mati,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Afghanistan.

Trump sebelum ini berkata di Washington, misi mengebom itu ‘amat berjaya.’

Bom besar itu yang digugurkan oleh kapal terbang pengangkut MC-130 mempunyai kekuatan letupan sama dengan 11 tan TNT. Senjata itu asalnya direka untuk menakutkan musuh dan ‘membersihkan’ kawasan yang luas.

Letupan itu menggegarkan kawasan sejauh beberapa kilometer dan menyebabkan kebakaran di kawasan pedalaman itu, memusnahkan apa yang pegawai Afghanistan anggap rangkaian terowong bawah tanah dan gua Daish.”

“Ia letupan paling besar pernah saya lihat,” kata gabenor Achin, Esmail Shinwari.

Menurutnya, bom itu jatuh di kawasan Momand Dara di daerah itu.

Sumber tentera Afghanistan memberitahu wartawan dari lokasi yang tidak didedahkan, penduduk tempatan dapat merasakan gegaran seperti berlaku gempa bumi.

“Beberapa penduduk pengsan kerana kuatnya letupan itu. Ada penduduk yang meninggalkan kawasan itu kerana bimbang lebih banyak bom seumpama itu digugurkan,” kata Esmail.

Tindakan menggunakan ‘ibu segala bom’ itu dilakukan selepas pertempuran semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu dan tentera Afghanistan yang disokong AS terpaksa bergelut untuk mara di kawasan itu.

Pengeboman di Afghanistan itu menandakan peningkatan dalam serangan AS terhadap militan di seluruh dunia.

Pengumuman Pentagon mengenai serangan itu menyebabkan pasaran saham merudum.

Ia menambah kebimbangan dalam kalangan pelabur yang sudahpun khuatir mengenai keadaan di Syria dan Korea Utara serta keputusan pilihan raya Perancis.

Taliban yang dijangka mengumumkan permulaan musim serangan mereka tahun ini mengecam pengeboman kelmarin.

Nangarhar yang bersempadan dengan Pakistan menjadi tempat persembunyian sebahagian besar militan Daish Afghanistan yang dianggarkan berjumlah antara 5,000 dan 8,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 8:39 AM