PASUKAN keselamatan Afghanistan berkawal di luar kem tentera di Mazar-i-Shariff selepas serangan kelmarin. - EPA
PASUKAN keselamatan Afghanistan berkawal di luar kem tentera di Mazar-i-Shariff selepas serangan kelmarin. - EPA
Agensi

Mazar-i-Sharif: Kira-kira 140 tentera Afghanistan terbunuh dalam serangan militan Taliban yang menyamar askar dengan memakai pakaian seragam tentera, semalam.

Seorang pegawai di Mazar-i-Sharif, bandar di utara Afghanistan, tempat serangan itu berlaku berkata semalam, ramai anggota pasukan keselamatan juga cedera dalam serangan itu.

Pegawai lain berkata, angka kematian mungkin lebih tinggi.

Menurutnya, sebahagian besar yang mati itu ialah rekrut muda yang datang untuk menjalani latihan.

Pegawai Amerika Syarikat di Washington berkata sebelum ini, lebih 50 orang terbunuh dan cedera.

Kira-kira 10 militan Taliban yang mengenakan pakaian seragam tentera Afghanistan dan memandu kenderaan tentera, memasuki pangkalan tentera di bandar berkenaan dan melepaskan tembakan, menyasarkan askar yang sedang makan dan meninggalkan masjid selepas solat Jumaat, menurut pegawai.

Dalam satu kenyataannya semalam, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, serangan itu adalah untuk membalas dendam terhadap pembunuhan beberapa pemimpin Taliban di utara Afghanistan sebelum ini.

Dua penyerang meletupkan diri mereka dan tujuh terbunuh dalam serangan selama beberapa jam itu.

Seorang penyerang ditahan.

Beberapa helikopter dilihat terbang di ruang udara pangkalan tentera itu sementara ambulans dilihat membawa keluar mayat mangsa selepas kejadian.

Pangkalan di wilayah Balk itu adalah markas Kor 209 tentera Afghanistan.

Serangan terbesar menyasarkan pangkalan tentera sebelum ini ialah pada awal Mac apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang menyamar doktor menyerang Hospital Sardar Daud Khan, hospital tentera terbesar negara itu, di Kabul, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Pegawai Afghanistan berkata, 50 orang mati dalam serangan Mac lalu itu tetapi sumber keselamatan dan mangsa yang terselamat mendakwa, jumlah mangsa melebihi 100 orang.

Militan Daish mendakwa mereka bertanggungjawab dalam serangan berkenaan, beberapa jam selepas Taliban menafikan ia terbabit.

Serangan itu dilakukan seminggu selepas 16 orang mati dalam serangan serentak yang dilakukan Taliban terhadap dua kawasan yang dikawal tentera di Kabul.

Awal bulan ini, tentera Amerika Syarikat menggugurkan ‘ibu segala bom’ - bom terbesar bukan nuklear mereka ke atas kubu Daish di timur Afghanistan, membunuh hampir 100 militan.

Ia mencetuskan kejutan di seluruh dunia dengan ada yang mengecamnya kerana menjadikan Afghanistan tempat menguji senjata itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 5:46 AM