Norman reda anaknya akan pergi belajar di luar negara. FOTO Norman Hakim
Norman reda anaknya akan pergi belajar di luar negara. FOTO Norman Hakim
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Norman Hakim mengakui perasaannya bercampur-baur untuk melepaskan anaknya, Mohamed Danish Hakim, 14, menyambung pengajian hafazan di Isparta, Turki.

Mohamed Danish ialah seorang daripada 10 pelajar Malaysia yang berjaya ke Mekke Kuran Kursu di Isparta itu dan dijangka bertolak ke sana tahun ini.

Norman ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan gembira dengan berita itu. Namun, dalam masa sama hatinya agak berat kerana bakal berjauhan dengan Mohamed Danish.

“Kalau dalam negara tidak apa tapi ini di tempat yang sangat jauh dari Malaysia. Kini perasaan saya terbalik pula berbanding sewaktu menghantar dia ke asrama di sini tidak lama dulu.

“Waktu itu, kami yang bersungguh-sungguh menggalakkan dia untuk memasuki Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz. Sekarang, dia pula yang menenangkan kami supaya tidak terlalu bimbang.Dia yang sangat teruja untuk ke sana,” katanya.

Mohamed Danish adalah anak hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri, Abby Abadi.

Berita gembira itu dikongsi Norman menerusi akaun Instagramnya dengan memuat naik foto surat tawaran yang diterima Danish.

Norman berkata, dia berharap dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri bersama anaknya itu sebelum dia berangkat ke sana.

“Kalau ikutkan, pelajar pengambilan pertama perlu berangkat ke sana bulan depan. Sekiranya Mohamed Danish termasuk dalam pengambilan pertama itu, kami reda jika tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama-sama.

“Pengambilan kedua pula adalah pada Oktober ini dan pengajiannya hanya akan tamat pada bulan Julai tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 4:34 PM