Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Norman Hakim tidak dapat menahan sebak apabila bertemu anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim, 15, yang pulang ke tanah air semalam selepas menduduki peperiksaan akhir hafazan di Turki sejak Februari lalu.

Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 42, berkongsi momen bahagia dan menyentuh hati itu di laman Instagram yang turut memaparkan bekas isterinya, Abby Abadi.

"Kepulangan yang dinanti, Al Hafiz Mohamed Danish Hakim. Alhamdulillah, terima kasih Allah," katanya menyambut anaknya itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Norman berkata, dia tidak sabar untuk menyuapkan makanan kegemarannya anaknya iaitu ketupat, lemang dan kuah kacang memandangkan pada Aidilfitri lalu mereka tidak dapat beraya bersama.

"Saya siap tapau ketupat, lemang, kuah kacang dan banyak lagi. Jumpa nanti terus nak suapkan sebab masa raya hari itu dia makan buah ceri saja," katanya.

Menurut Norman, selain makanan itu dia juga lengkap berbaju Melayu bagi menyambut kepulangan anaknya bagi memberikan suasana hari raya.

Video berdurasi 58 saat yang diselitkan lagu Kepulangan Yang Dinanti nyanyian Aman Shah itu ditonton hampir 900,000 dan mendapat 3,000 komen sejak dimuat naik semalam.

Danish adalah antara 10 pelajar yang terpilih melanjutkan pengajian di Mekke Kuran Kursu, Isparta sejak 1 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 1:11 PM
Norman bersama anak dan bekas isteri, Abby Abadi (kiri). FOTO IHSAN NORMAN HAKIM
Norman bersama anak dan bekas isteri, Abby Abadi (kiri). FOTO IHSAN NORMAN HAKIM