MURID Indonesia bermain di padang sekolah berlatarbelakangkan Gunung Sinabung yang meletus pada 11 April. FOTO AFO
MURID Indonesia bermain di padang sekolah berlatarbelakangkan Gunung Sinabung yang meletus pada 11 April. FOTO AFO
AFP

Karo (Indonesia): Gunung Berapi Sinabung di Sumatera memuntahkan asap dan debu tebal ke udara semalam selepas kembali aktif.

Agensi bencana memberitahu, Sinabung meletus beberapa kali sejak beberapa hari lalu dan mengeluarkan asap dan debu tebal setinggi tiga kilometer ke udara.

Asap tebal yang menjulang ke angkasa jelas kelihatan dari sebuah sekolah di Sumatera Utara tetapi murid terus bermain di padang.

Pihak berkuasa berkata, kawasan sekolah itu selamat kerana berada di luar lingkungan tujuh kilometer kawasan larangan sekitar Sinabung.

Sinabung direkodkan meletus beberapa kali sejak 2013.

Penduduk kampung dilihat mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka ketika debu gunung berapi turun ke bumi dan terus bekerja di ladang mereka.

Lebih 2,000 keluarga berhampiran Sinabung dipindahkan sejak beberapa tahun dan ramai dijangka ditempatkan di penempatan baru selepas terlalu lama tinggal di pusat pemindahan sementara.

Sinabung kembali aktif buat pertama kalinya dalam tempoh 400 tahun pada 2010.

Selepas beberapa tahun tidak aktif, ia kembali meletus tiga tahun selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 6:52 PM