PENUNGGANG motosikal menutup muka dengan plastik selepas debu dari gunung Sinabung menyelubungi kampung Tiga Pancur di Karo, Sumatera Utara kelmarin. - AFP
PENUNGGANG motosikal menutup muka dengan plastik selepas debu dari gunung Sinabung menyelubungi kampung Tiga Pancur di Karo, Sumatera Utara kelmarin. - AFP
Agensi

Medan: Beberapa kampung di daerah Karo di Sumatera Utara dilanda hujan debu selepas Gunung Berapi Sinabung meletus kelmarin dan menghamburkan debu dan asap panas setinggi lebih empat kilometer.

Beberapa letusan besar berlaku di Sinabung pada jam 8 pagi (waktu tempatan) hingga tengah hari kelmarin.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, sejak letusan bermula beberapa minggu lalu seramai 7,214 penduduk terpaksa dipindahkan.

Pusat Pengurangan Bahaya Gunung Berapi dan Geologi mengarahkan penduduk menjauhi kawasan seluas tujuh kilometer radius dari Sinabung.

“Kami tidak boleh menjangka bila Sinabung berhenti meletus.

“Aktiviti gunung berapi dan seismos masih tinggi, oleh itu terdapat risiko berlakunya letusan susulan,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beberapa kampung berhampiran Sinabung dilanda hujan debu dan menyebabkan langit di kawasan berkenaan berwarna oren.

Bangunan, rumah dan jalan raya di kawasan terjejas diliputi debu tebal manakala penduduk juga dilihat memakai topeng muka ketika keluar dari rumah.

BNPB memberitahu, ribuan penduduk terjejas akibat hujan debu itu dan sekurang-kurangnya sebuah sekolah ditutup semalam.

Sinabung aktif kembali pada 2010 selepas tidak merekodkan sebarang aktiviti selama 400 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 9:04 AM