PENDUDUK membersihkan kenderaannya yang diliputi debu tebal kesan letusan Gunung Berapi Sinabung pada Isnin lalu. FOTO AFP
PENDUDUK membersihkan kenderaannya yang diliputi debu tebal kesan letusan Gunung Berapi Sinabung pada Isnin lalu. FOTO AFP
Agensi

Medan: Sebahagian kawasan di Karo di Sumatera Utara masih diliputi debu tebal kesan letusan Gunung Berapi Sinabung pada Isnin lalu.

Foto yang diambil oleh jurugambar AFP menunjukkan debu berkenaan meliputi rumah penduduk di kawasan berhampiran dengan Kampung Naman Teran di Karo.

Satu foto lain menunjukkan seorang penduduk di Kampung Sukatepu, Karo turut membersihkan kenderaan yang dilitupi debu gunung berapi berkenaan.

Dalam pada itu, petugas badan bencana di Karo, Natanail Peranginangin turut menasihatkan penduduk supaya memakai pelitup muka bagi mengelak risiko kesihatan.

Beliau berkata, ia penting bagi mengelak penduduk mengalami penyakit berpunca daripada pendedahan kepada asap dan debu itu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai terus berwaspada berikutan Gunung Sinabung itu dijangka akan terus aktif dalam masa terdekat.

Pada kejadian Isnin lalu, gunung itu kembali meletus dengan mengeluarkan abu dan asap berwarna kelabu setinggi 5,000 meter.

Menurut kenyataan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG), letusan itu berlaku pada 10.16 pagi (waktu Indonesia Barat.)

Asap serta abu itu melewati sekurang-kurangnya tiga kawasan di Karo menyebabkan langit gelap terutama di Namanteran yang terletak 5.2 kilometer dari gunung itu.

Ia kemudian menghala ke arah timur dan tenggara Pulau Sumatera.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Selepas 400 tahun, Gunung Sinabung meletus pada 2010, sebelum letusan seterusnya pada 2013.

Ia sekali lagi meletus pada 2014 mengorbankan 16 orang, manakala tujuh terkorban ketika letusan pada 2016. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 7:00 AM