Medan: Gunung berapi Sinabung di daerah Karo, Sumatera Utara kembali meletus semalam dengan menghamburkan debu tebal setinggi tiga kilometer (km).

Pegawai Badan Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gunung berapi itu meletus tiga kali sejak pagi semalam.

Letusan pertama berlaku pada jam 5.25 pagi (waktu tempatan) dengan menghamburkan debu setinggi 2.5km.

Letusan kedua berlaku pada jam 5.36 pagi disusuli letusan ketiga pada jam 8.20 pagi dan menghamburkan debu tebal setinggi 2km dan 3km.

Katanya, hujan debu putih gunung berapi itu dikesan jatuh ke bumi sejauh 4km ke arah timur dan tenggara Sinabung.

“Letusan ini adalah yang terbesar dalam tempoh seminggu dan berpotensi untuk meletus lagi,” katanya.

Menurutnya, Sinabung diletakkan pada status bahaya selepas gegaran berterusan dikesan dan mungkin meletus lagi.

Bagaimanapun, agensi itu tidak memindahkan penduduk ekoran kejadian itu seperti yang dilakukan sebelum ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:06 AM