Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Guru silat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan memiliki senjata api dan peluru, bulan lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Mohammad Sabri Mat Zain, 46, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki bom tangan grenade di sebuah rumah di Teluk Kandis, Salor, di sini, antara jam 7.55 pagi hingga 1.20 tengah hari, pada 21 Mac lalu.

Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan minimum enam sebatan.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki dua butir peluru tanpa lesen senjata di lokasi, masa dan tarikh yang sama. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa memaparkan bahan berkaitan Daish melalui akaun Facebook (FB) miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, pada jam 1 petang, 4 April 2017.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 3:47 PM
Mohammad Sabri dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memiliki senjata api dan peluru, bulan lalu. FOTO Zaman Huri Isa
Mohammad Sabri dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan memiliki senjata api dan peluru, bulan lalu. FOTO Zaman Huri Isa