Nor Akmar Samudin


Penganjur Anugerah Filem Kebangsaan India ke-64 mengumumkan pemenang untuk setiap kategori filem yang dicalonkan, Jumaat lalu.

Kejutan untuk Akshay Kumar, 50, apabila dia menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Rustom.

Sejak dia menceburi bidang lakonan pada 1990-an dan berlakon lebih 100 filem Hindi, inilah kali pertama Akshay memenangi anugerah itu.

Filem lakonan Sonam Kapoor iaitu Neerja pula diangkat Filem Terbaik (kategori filem Hindi).

Anugerah itu mengiktiraf kejayaan semua hasil kerja penggiat seni di India sepanjang tahun lalu.

Sebaik saja kemenangan mereka diumumkan, kedua-dua pelakon itu dihujani ucapan tahniah daripada peminat, keluarga, sahabat, artis dan selebriti seperti Rishi Kapoor, Karan Johar, Arjun Rampal, Farhan Akhtar serta Alia Bhatt.

Pengarah filem Neerja, Ram Madhvani mendedikasikan kemenangan itu kepada keluarga Neerja Bhanot.

Filem itu berdasarkan kisah benar mengenai pengorbanan pramugari muda bernama Neerja Bhanot yang sanggup mempertaruhkan nyawanya di tangan pengganas bagi menyelamatkan penumpang kanak-kanak dalam tragedi rampasan kapal terbang pada 5 September 1986.

“Saya sangat terkejut dengan kemenangan itu dan saya sudah pun menghubungi keluarga Neerja. Mereka turut gembira dengan kemenangan itu,” kata Ram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:50 AM