Pemain Felda United FC, Mohamad Fazrul Hazli (tengah) meraikan jaringannya ketika menang 3-0 atas Ceres Negros FC di Stadium Shah Alam. FOTO BERNAMA
Pemain Felda United FC, Mohamad Fazrul Hazli (tengah) meraikan jaringannya ketika menang 3-0 atas Ceres Negros FC di Stadium Shah Alam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Felda United FC mendapat lampu hijau daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menggunakan Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang untuk perlawanan Piala AFC.

Dalam kenyataan di Facebook rasmi Felda United, pasukan itu akan memulakan aksi sulung di stadium itu dalam saingan Piala AFC menentang wakil Singapura, Tampines Rovers pada 19 April ini (Rabu).

"Perbincangan semula diadakan antara pihak pengurusan Felda United dan pihak penganjur (AFC) telah mendapat kata putus untuk melulus dan membenarkan penggunaan STAR," menurut kenyataan itu.

Setiausaha agung pasukan 'The Fighters', Zulkarnain Muhammad berterima kasih kepada AFC kerana membenarkan pasukan itu beraksi pada terakhir di gelanggang sendiri dalam saingan peringkat Kumpulan G.

"Matlamat utama mengadakan perbincangan semula dengan AFC adalah khas buat untuk penyokong Felda United. Sebelum ini penyokong mengeluh kerana venue jauh ketika beraksi di Stadium Shah Alam.

"Semoga perlawanan menentang Tampines Rovers para penyokong dapat membanjiri stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan Felda United," katanya.

Felda United sebelum ini menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah dalam perlawanan menentang Hanoi FC (7 Mac) dan Ceres Negros (4 April) setelah pihak AFC menolak permohonan awal untuk menggunakan Stadium STAR berikutan isu penginapan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 4:16 PM