ANGGOTA polis membuat pemeriksaan dalam satu kejadian tembak di Paya Terubong, Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan dalam satu kejadian tembak di Paya Terubong, Georgetown, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Dearah Timur Laut, terpaksa melepaskan tujuh das tembakan ke arah kereta dipandu seorang lelaki, hari ini.

Ini berikutan suspek cuba melarikan diri ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan di Jalan Paya Terubong, di sini, pada 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata suspek yang berusia 46 tahun ditahan anggota MPV kerana dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota terbabit kemudian mahu membuat pemeriksaan dalam Proton Wira dipandunya namun suspek terus memecut kenderaannya itu.

"Ketika melarikan diri, suspek melanggar penunggang motosikal dan kereta orang awam namun dia tetap enggan memberhentikan keretanya.

"Tindakan suspek membuatkan polis terpaksa tembak tayar keretanya namun dia masih memecut kenderaannya sebelum berhenti di kawasan padang permainan," katanya.

Menurutnya, suspek kemjudian melarikan diri dan pemeriksaan dalam kereta menemui sarung pedang dan sekotak 'ball bearing'.

"Kita sudah mengenal pasti identiti suspek dan semakan mendapati dia mempunyai 10 rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 4:46 PM