EE Yi (kiri) dan Yew Sin mara pusingan kedua Terbuka Singapura.
EE Yi (kiri) dan Yew Sin mara pusingan kedua Terbuka Singapura.
myMetro

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berjaya mengelak daripada tersingkir awal di Terbuka Singapura selepas menang pusingan pertama ke atas gandingan India M R Arjun-R Shlok 21-17, 21-17, semalam.

Ketika beberapa pemain negara lain terkulai di pusingan pertama, Ee Yi-Yew Sin mempamerkan corak permainan meyakinkan.

Bagaimanapun, mereka bakal berdepan ujian getir di pusingan kedua hari ini apabila bertemu pilihan keempat dari China Li Junhui-Liu Yuchen.

“Walaupun nampak mudah tapi sebenarnya kami berdepan lawan yang sukar juga.

“Lawan kami sudah beraksi dua perlawanan di pusingan kelayakan semalam (kelmarin). Jadi mereka sudah dapat membiasakan diri berbanding kami,” kata Ee Yi.

Mengulas mengenai pertemuan dengan gandingan China hari ini, Ee Yi berkata mereka tiada pilihan selain perlu beraksi sebaik mungkin.

Antara pemain negara yang tersingkir awal semalam ialah beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang tewas 19-21, 21-14, 20-22 kepada gandingan Indonesia Angga Shitta Awanda-Ni Ketut Mahadewi Istarani.

Begitu juga satu lagi beregu wanita Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen yang tewas 19-21, 19-21 kepada beregu India Ashwini Ponnappa-Reddy N Sikki.

Nasib sama turut dilalui pemain profesional negara Chong Wei Feng yang tewas di tangan pilihan kelapan dari Thailand Tanongsak Saensomboonsuk 18-21, 18-21.

Vivian Hoo-Woon Khe Wei juga gagal meneruskan kemaraan apabila tewas 22-20, 18-21, 12-21 kepada lawan dari Taiwan Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:21 AM