PEI Tty yakin skuad Piala Uber mampu ke suku akhir.
PEI Tty yakin skuad Piala Uber mampu ke suku akhir.
Saiful Affendy Sapran & Ferzalfie Fauzi

Sepang: “Saya belum buat keputusan.”

Demikian pandangan jurulatih beregu wanita negara Wong Pei Tty sama ada mahu memisahkan beregu utama negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei di saingan Piala Uber yang bermula Ahad ini.

Jelas Pei Tty, dia perlu melihat prestasi semasa semua pemain pada sesi latihan di Kunshan, China sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya perlu melihat siapa lawan yang akan diturunkan. Kami juga perlu meneliti setiap perlawanan untuk melihat siapa yang paling terbaik boleh diturunkan,” katanya.

Sebelum ini bekas jurulatih skuad negara Rosman Razak berpendapat Vivian dan Khe Wei sewajarnya dipisahkan dalam usaha skuad negara untuk meraih mata menerusi beregu kedua.

Antaranya cadangannya adalah menggandingkan Vivian dengan Liu Ying serta Khe Wei dengan satu lagi pasangan lain.

Ketika ini, beregu kedua negara digalas Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang kurang berpengalaman.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang skuad Piala Uber, Pei Tty yakin mereka mampu melangkah ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Denmark, Sepanyol dan China.

“Pertemuan dengan Denmark adalah 50-50 sementara untuk Sepanyol, kita mempunyai peluang lebih cerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 7:31 AM