KHE Wei (kiri) dan Vivian tersingkir daripada saingan selepas tewas kepada pasangan  China.
KHE Wei (kiri) dan Vivian tersingkir daripada saingan selepas tewas kepada pasangan China.
Ferzalfie Fauzi

Kuching: Bukan masa sesuai untuk memisahkan gandingan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei susulan tersingkir pusingan pertama Terbuka Malaysia kelmarin.

Perkara itu diakui jurulatih beregu wanita Wong Pei Tty yang menganggap anak buahnya itu masih lagi gandingan terbaik negara.

“Jurang terlalu jauh antara pemain senior dan pemain muda menyukarkan kami membentuk kombinasi baru selain memerlukan masa lama untuk mereka menghasilkan keputusan positif,” katanya.

Jelasnya, mereka pernah mencuba gandingan baru sebelum ini ketika Masters Malaysia di Sibu, Januari lalu.

“Saya gandingkan beberapa pemain muda dengan senior, tapi tidak menjadi kerana jurang antara mereka terlalu jauh. Lagipun, jika saya membentuk kombinasi baru, saya perlukan dua atau tiga tahun untuk mempersiapkan mereka. Jadi, buat masa sekarang bukan masa sesuai untuk memecahkan gandingan Vivian-Khe Wei kerana mereka masih yang terbaik.

“Walaupun Vivian-Khe Wei masih belum menghasilkan keputusan positif, sebenarnya ada peningkatan dalam corak permainan mereka. Ini susulan beberapa perubahan dilakukan dan kami kini sedang bekerjasama dengan pakar psikologi untuk menguatkan mental mereka,” katanya.

Sejak menjuarai Grand Prix Emas Indonesia pada 2011 - gelaran pertama dan terakhir mereka - mereka gagal mencetuskan impak positif biarpun berada dalam kelompok 15 terbaik dunia.

Kelmarin, pemenang emas Sukan Komanwel 2014 itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Bao Yixin-Yu Xiaohan dari China 21-13, 17-21, 26-28.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:56 PM