Anggota MBKT menyita motosikal yang parkir di kawasan larangan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Anggota MBKT menyita motosikal yang parkir di kawasan larangan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Sebanyak 12 motosikal disita Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kerana parkir di kawasan larangan di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, motosikal berkenaan didapati tidak parkir di tempat yang disediakan hingga menghalang laluan sekali gus menyebabkan pelbagai masalah termasuk mengundang kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, kebanyakan pemilik motosikal mengambil mudah dan sambil lewa dengan peraturan yang ditetapkan apabila parkir di kawasan larangan walaupun MBKT sudah menyediakan lebih 80 petak parkir motosikal di kawasan berdekatan.

"Sebelum ini, MBKT sudah memberi nasihat dan amaran mengenai kesalahan yang dilakukan itu tetapi tidak diendahkan dan sebagai pengajaran kepada mereka kami terpaksa mengambil keputusan menyita motosikal mereka mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana menghalang laluan.

"Pemilik motosikal itu boleh dikompaun sehingga RM250 sebuah dengan harapan pemilik motosikal mendapat pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan sama demi kebaikan semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 8:25 PM