DR Maizom dan pembantu penyelidik INBIOSIS, Nazmi Harith Fadzilah membuat kajian kumbang jalur merah ke atas tebu.
DR Maizom dan pembantu penyelidik INBIOSIS, Nazmi Harith Fadzilah membuat kajian kumbang jalur merah ke atas tebu.
 KAJIAN mengenai ulat bungkus yang memakan sayuran dapat diatasi dengan menggunakan Bio Racun.
KAJIAN mengenai ulat bungkus yang memakan sayuran dapat diatasi dengan menggunakan Bio Racun.
DR Maizom menunjukkan kumbang jalur merah yang menyerang pokok kelapa sawit.
DR Maizom menunjukkan kumbang jalur merah yang menyerang pokok kelapa sawit.
Mohamad Hussin

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya membangunkan formula Bio Racun dalam pengurusan secara lestari serangga perosak dalam pengeluaran minyak sawit dan sayuran.

Bio Racun ini digunakan untuk menghapuskan serangan serangga ulat bungkus yang menyerang sayuran berdaun manakala kumbang merah menyerang dalam batang pokok sawit dan kelapa sehingga menjejaskan pengeluaran.

Buat masa ini, kawalan serangga perosak sawit dan ulat pemakan sayur biasanya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan racun kimia.

Selain daripada peningkatan kos pengurusan, pencemaran alam sekitar dan kesan sampingan ke atas manusia dan organisma bukan sasaran, penggunaan racun yang tidak terkawal menyebabkan peningkatan kerintangan perosak terhadap racun berkenaan.

Felo Penyelidik Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) UKM Dr Maizom Hassan berkata, pencarian kaedah alternatif yang lebih mesra alam, bersifat ekonomi dan praktikal perlu dibangunkan.

Beliau berkata, kumbang jalur merah atau nama saintifiknya ‘Rhynchophorus ferrugineus’ adalah ancaman terhadap 17 spesies pokok palma di seluruh dunia termasuk pokok kelapa sawit dan kelapa.

“Kumbang jalur merah bertindak dengan mengorek masuk ke dalam batang pokok dan memusnahkan tisu di dalam pokok menyebabkan batang pokok mudah patah dan musnah dalam masa yang singkat.

“Selain daripada industri kelapa sawit, industri sayuran di Malaysia turut diancam serangan ulat bungkus seperti Plutella xylostella (kupu-kupu belakang intan, diamond backmoth) dan Spodoptera litura,” katanya yang ditemui di INBIOSIS UKM, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, pengawalan perosak bersepadu (IPM) membabitkan penggunaan semua teknik dan kaedah pengawalan yang paling sesuai untuk mengekalkan paras perosak di bawah paras kerosakan ekonomi.

“Prinsip yang digunakan dalam IPM ialah pembangunan racun serangga yang bersifat spesifik dan pengekploitasian kaedah bukan kimia.

“Menerusi gabungan bidang enzimologi, proteomik, biologi pengkomputeran dan entomologi, pengenalpastian serta pembangunan racun perosak bersifat spesifik kepada perosak sasaran sedang dijalankan,” katanya

Beliau berkata, hasil kajian enzimologi membabitkan penulenan dan pencirian protein, serta kajian kespesifikan substrat dan perencatan enzim yang terbabit dalam proses kehidupan serangga berjaya mengenal pasti beberapa sebatian yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai bio-rational insecticide (racun bio rasional)

“Kajian proteomik ke atas serangga sasaran mengukuhkan lagi pemahaman tentang mekanisma dan pengawalaturan proses diapause, metamorfosis, dan vitelogenesis serangga.

“Bidang biologi pengkomputeran juga digunakan dalam pembangunan racun bio rasional apabila ia membabitkan kajian pendokkan molekul.

“Ia digunakan dalam menilai interaksi di antara ligan dan enzim atau reseptor atau asid nukleik serta maklumat berkenaan adalah penting dalam meramalkan paras ketoksikan pestisid atau sebatian toksik yang boleh menyekat aktiviti enzim terbabit.

“Pendekatan ini juga digunakan dalam proses saringan analisis in-vitro dan in-vivo,” katanya yang menjalankan kajian itu sejak 2009 membabitkan geran sebanyak RM500,000.

Dr Maizom berkata, penyelidikan ini antara projek usaha sama INBIOSIS dengan Fakulti Sains dan Teknologi UKM serta Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 10:40 AM