DR Azman (dua dari kiri) menunjukkan kaedah memasukkan racun pembasmi Ulat Pemakan Daun (UPD) ke dalam batang pokok kelapa sawit di Felda Kerteh 5, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
DR Azman (dua dari kiri) menunjukkan kaedah memasukkan racun pembasmi Ulat Pemakan Daun (UPD) ke dalam batang pokok kelapa sawit di Felda Kerteh 5, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


PASUKAN Task Force membabitkan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan ditugaskan membasmi serangan Ulat Pemakan Daun (UPD) yang menyerang ladang kelapa sawit di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pasukan itu mengesan 1,155 hektar tanaman sawit terjejas akibat serangan UPD.

Beliau berkata, daripada 22 kawasan Felda di negeri ini, Felda Kerteh 5 di Dungun dan Seri Bandi di Kemaman terjejas akibat serangan ulat itu.

“Daripada 1,400 hektar tanaman sawit di Felda Kerteh 5, sebanyak 1,115 hektar dikesan mengalami serangan itu dan 200 hektar daripadanya dilaporkan terjejas teruk.

“Di kawasan Seri Bandi, kawasan seluas 40 hektar diserang dan ia menjejaskan 40 peratus hasil pengeluaran sawit kita,” katanya ketika mengadakan lawatan di Ladang Kelapa Sawit Felda Kerteh 5, Dungun, hari ini.

Azman berkata, pasukan Task Force terdiri daripada kerajaan negeri, Felda, Felcra, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Ladang Rakyat, TDM Terengganu dan Pekebun Kecil Sawit mengambil langkah drastik bagi mengelak serangan itu daripada merebak.

Katanya, setakat ini, pasukan Task Force melakukan kawalan secara kimia dan biologi iaitu dengan menggunakan kaedah semburan daun dan suntikan di batang pokok.

“Kita akan galakkan tanaman pokok Cassia, Antigonen dan Tunera sebagai menarik serangga pemusnah daripada menyerang pokok kelapa sawit..

“Pasukan bertindak akan turun ke seluruh negeri melancarkan kempen dan memberi kesedaran kepada pekebun berhubung langkah menghadapi serangan itu.

“Kita percaya dengan komitmen baik daripada pasukan tindakan ini mampu menyelamatkan industri sawit di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 9:32 PM