BUAH cermai.
BUAH cermai.
myMetro

Pokok cermai berasal dari Madagascar dan kini ditanam di seluruh kawasan tropika termasuk di Malaysia. Ia adalah sejenis pokok buah-buahan yang tidak bermusim.

Cermai biasanya membiak melalui biji benih yang disemai dan keratan batang. Biasanya proses percambahan agak lambat kerana bijinya yang keras.

Pokok cermai bersaiz kecil dan sederhana besar iaitu setinggi tiga hingga 10 meter (m). Batang lurus, berdahan banyak, berwarna coklat kehitam-hitaman dan susunan silara yang seimbang.

Ia kelihatan seakan-akan belimbing buluh terutama bentuk daunnya.

Buah cermai jarang dimakan segar kerana rasanya masam. Buah yang hampir masak dibuat jeruk atau halwa dan dijadikan ramuan dalam resipi masakan tradisional.

Buahnya berbentuk bulat, agak leper, diameter berukuran 1 hingga 2 sentimeter (sm), mempunyai 6 hingga 8 lekuk, berwarna putih kekuning-kuningan atau hijau kekuning-kuningan.

Buah cermai mempunyai beberapa biji kecil dan keras. Tangkai buah cermai panjang, berukuran 2 hingga 3 sm. Buahnya keluar tergantung pada dahan dan ranting pokok.

Pucuk cermai dibuat sayur atau penyedap rasa dalam masakan tradisional. Bahagian yang boleh digunakan dalam perubatan tradisional ialah akar, buah, daun dan kulit pokok.

Kampung Sungai Cermai di Bahau, Negeri Sembilan dan Kampung Cermai, Pasir Raja, Terengganu mendapat namanya sempena pokok cermai yang terdapat di kawasan berkenaan.

Sumber - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 10:37 AM