FENG memakai kostum beruang berdiri di  jalan raya di Hefei, menanti mereka yang mahu dipeluknya untuk memungut derma bagi membayar kos rawatan anaknya.  - Agensi
FENG memakai kostum beruang berdiri di jalan raya di Hefei, menanti mereka yang mahu dipeluknya untuk memungut derma bagi membayar kos rawatan anaknya. - Agensi

Hefei: Seorang bapa yang terdesak untuk membayar bil rawatan kanser anaknya bertindak mengumpulkan wang dengan menawarkan pelukan kepada sesiapa yang sudi menderma.

Lelaki itu, Feng Kai, berdiri di tengah jalan raya di bandar Hefei di wilayah Anhui dengan berpakaian seperti beruang, bersedia untuk memeluk siapa sahaja yang bersimpati dengan nasib anaknya.

Malangnya, selepas tiga hari berusaha, hanya tujuh orang sahaja dipeluk olehnya sementara wang yang terkumpul tidak melebihi 100 yuan. (RM65).

Bagaimanapun, nasib Feng baik apabila kisahnya dimuat naik ke Internet berjaya meraih simpati.

Hanya sehari selepas videonya viral, bekas mekanik itu menerima sumbangan lebih 180,000 yuan (RM116,000) daripada pengguna dari seluruh pelusuk China.

Feng tahun lalu berhenti kerja sebagai mekanik untuk menjaga anaknya. Anggota keluarganya pernah meyakinkan dia supaya melupakan sahaja rawatan perubatan itu kerana ia terlalu mahal.

Di China, ramai yang senasib dengan Feng. Tanpa wang untuk menanggung kos rawatan anggota keluarga, mereka terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan, bagi mengumpulkan dana. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:44 AM