RAZIP bangga pencapaian skuad B-23. FOTO/FAIL
RAZIP bangga pencapaian skuad B-23. FOTO/FAIL
Firdaus Hashim


PENDEDAHAN banyak dan peluang bermain secara konsisten dalam aksi Liga Malaysia (Liga-M) menyaksikan pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara beraksi cemerlang di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang ketika ini.

Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dan bekas pengendali Pahang, Mohamed Razip Ismail berkata, aksi luar biasa dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee sebenarnya bermula daripada saingan liga tempatan yang dilihat semakin kompetatif setiap musim.

Katanya, kelompok pemain muda tidak lagi malu-malu ketika berlatih bersama tonggak senior atau import apabila mereka tampil lebih berani mencabar tempat dalam kesebelasan utama yang akhirnya menyaksikan jurulatih memberi peluang kepada mereka beraksi dengan lebih kerap.

“Pemain mencabar diri mereka apabila bermain bersama senior dan import yang lebih berpengalaman dalam aksi Liga-M, sekali gus mematangkan corak permainan mereka," katanya yang pernah membimbing skuad Harimau Muda B sebelum program berkenaan dibubarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada November 2015.

“Liga Malaysia terutama Liga Super dan Liga Perdana turut diwarnai pemain senior berpengalaman dan juga import berkualiti, maka pengalaman bermain bersama mereka mematangkan pemain muda kita.

“Pada saya, faktor kejayaan ini adalah kerana hampir kesemua pemain B-23 membarisi kesebelasan utama kelab atau pasukan yang diwakili dalam liga domestik," katanya.

Malah ujarnya, bermain secara konsisten bersama pasukan masing-masing sama ada dalam saingan Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA memudahkan kerja Kim Swee untuk menyediakan pasukan walaupun dalam tempoh singkat sebelum bersaing di kejohanan antarabangsa.

“Kita lihat sekarang Kim Swee mempunyai lebih ramai pilihan pemain dan kita tahu skuad negara tidak mempunyai masa latihan panjang sebelum ke Indonesia, namun pendedahan dalam liga tempatan berjaya membekalkan persediaan awal kepada pemain kita.

“Pemain seperti Safawi Rasid, Syazwan Andik, Nik Akif Syahiran, Ifwat Akmal dan Irfan Zakaria antara pemain utama pasukan masing-masing, maka aksi konsisten ini sebenarnya meningkatkan prestasi mereka,” kata Razip.

Selain aksi menakjubkan di Sukan Asia yang menyaksikan skuad negara mara ke pusingan kedua selepas menjuarai Kumpulan E, mereka turut cemerlang melangkah ke suku akhir buat pertama kali di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Kunshan, China pada Januari lalu.

Momentum itu diteruskan di Jakarta apabila aset masa depan negara itu menewaskan Kyrgyzstan 3-1 dalam aksi pertama sebelum menamatkan kemarau 44 tahun kemenangan ke atas Korea Selatan apabila menang 2-1 pada aksi kedua kumpulan.

Biarpun tewas 2-3 pada aksi terakhir kepada Bahrain, kemenangan ke atas Korea Selatan yang diketuai bintang Liga Perdana Inggeris dari kelab Tottenham Hotspur, Son Heung-min dianggap sesuatu yang mengejutkan pemerhati dan peminat bola sepak benua ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 4:20 PM