ALIF dan Sherry cuba jadi diri sendiri pada pentas AJL. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
ALIF dan Sherry cuba jadi diri sendiri pada pentas AJL. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Sudirman Mohd Tahir

Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) yang bakal berlangsung pada 11 Februari ini menjanjikan sesuatu yang istimewa buat penonton.

Selain menampilkan 12 finalis yang kebanyakannya terdiri daripada ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU), AJL juga menampilkan dua gandingan pengacara hebat iaitu Alif Satar dan Sherry Alhadad.

Ketika nama mereka diumumkan sebagai pengacara edisi ke-32 itu, ramai netizen memberikan reaksi positif di laman sosial.

Tidak sabar, menarik dan serasi antara komen yang ditulis.

Bagi Alif yang juga pelakon drama Dia Semanis Honey, dia menerima tawaran itu disebabkan rakan pengacaranya adalah Sherry Alhadad.

“Saya dan Sherry pernah mengacarakan program Rockanova. Jadi, keserasian sudah ada dan tidak ada masalah bergandingan semula. Cuma, AJL adalah penampilan pertama kami di pentas berprestij.

“Sejujurnya, ketika mendapat tawaran ini saya bertanya jika mengacara solo atau berpasangan. Malah, kalau berpasangan berapa orang. Selepas dimaklumkan bersama Sherry, saya terus berkata ya,” katanya.

Menurut Alif, dia juga berbesar hati apabila kredibilitinya sebagai pengacara beberapa program diambil kira bagi menggalas tanggungjawab sebagai pengacara AJL.

Umum mengetahui, selain persembahan finalis, AJL turut ‘trending’ menerusi pengacara. Ada yang memberi komen positif, begitu juga sebaliknya.

“Komen dan kritikan tetap ada. Ia perkara biasa dalam mana-mana acara besar atau program TV. Saya sudah bersedia untuk jadi tumpuan, malah positif saja untuk terima setiap kritikan. Apa boleh dijanjikan, saya dan Sherry cuba berikan persembahan terbaik.

“Kami cuba untuk tidak ‘over’ dan bersikap syok sendiri, sebaliknya ingin jadi diri sendiri. Sebelum ini, saya pernah beraksi sebagai finalis dan melihat hos AJL mengemudi acara ini. Bagi saya, sesiapa saja yang terpilih ia satu pencapaian hebat kerana AJL bukan calang-calang program,” katanya.

Alif berkata, dia juga cuba mengelak menggunakan bentuk fizikal seseorang sebagai bahan lawak sepanjang majlis berlangsung.

SHERRY dan Alif ketika sidang media Anugerah Juara Lagu ke-32, baru-baru ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
SHERRY dan Alif ketika sidang media Anugerah Juara Lagu ke-32, baru-baru ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Sherry tak terfikir nak mengacara AJL

Sependapat dengan Alif, Sherry yang juga pengacara program Muzik Muzik 32 (MM32) cuba menjadikan gandingannya bersama Alif nampak lebih kelas.

“Di pentas saya tidak keseorangan, tetapi ada pihak lain terutama pasukan produksi. Jadi, saya tidak mahu wujud sebarang masalah dengan rakan pengacara atau produksi. Disebabkan itu, saya suka berinteraksi dengan semua orang sebelum acara berlangsung.

“Mengenai gandingan dengan Alif, saya suka dengan komitmen dan cara kerjanya. Namun, tidak bermakna saya jenis yang memilih. Saya masih sedar diri dan ruang. Siapa pun yang dipilih bersama saya, saya okey saja,” katanya.

Sherry yang juga pengacara program Sherry The Show berkata, dia tidak pernah terlintas langsung untuk terbabit pada AJL walaupun dia pengacara Muzik-Muzik 32 (MM32) bersama Hefny Sahad.

“Pada mulanya saya dipilih menggantikan Amyra Rosli kerana masalah kesihatan. Selepas itu, pihak produksi memberi peluang untuk mengacarakan terus MM32 bersama Hefny. Ketika itu, tak terfikir pun akan sampai ke AJL.

“Namun, apabila diberitahu saya berasa bangga. Pada masa sama, perasaan bercampur gemuruh. AJL bukan program biasa kerana ia mempunyai pengikut tersendiri. Jadi, saya perlu buat lebih banyak kajian mengenai sejarah AJL,” katanya yang sedia menggalas tugas sebagai pengacara AJL lagi sekiranya diberi peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:34 AM