Sherry Ibrahim. FOTO MAHZIR MAT ISA
Sherry Ibrahim. FOTO MAHZIR MAT ISA
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Sherry Ibrahim menentang sekeras-kerasnya tindakan individu berkahwin dengan gadis bawah umur yang tular beberapa hari lalu.

Sherry, 35, menolak tindakan itu kerana ia satu penganiayaan terhadap kanak-kanak di bawah umur malah dia pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika zaman kanak-kanak.

"Saya mendapat tahu mengenai isu itu, kelmarin dan saya sekeras-kerasnya menolak apa berlaku walau apa pun alasan diberikan," katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya, kalau lelaki berusia 40-an tular itu benar-benar ingin membantu kanak-kanak dan keluarganya, ada banyak cara lain boleh dilakukan.

"Dia masih di bawah umur dan kalau lelaki itu mahu membantu, dia boleh jadikan anak angkat atau bantu untuk membiayai pelajarannya.

"Walaupun mereka dan bernikah atau apa, dia masih di bawah umur dan dalam zaman sekarang, macam-macam benda tak baik berlaku terhadap kanak-kanak di bawah umur," katanya.

Sherry turut bercerita pengalamannya menjadi mangsa gangguan seksual ketika kecil.

"Ketika berusia sembilan ke 10 tahun, saya pernah menjadi mangsa gangguan seksual di sekolah.

"Namun, ketika itu saya masih kanak-kanak dan tak tahu apa tindakan boleh saya ambil.

"Jadi, bila saya dah dewasa dan nampak benda sebegini berlaku dalam masyarakat, saya perlu bersuara," katanya.

Sherry menegaskan agar mereka tidak menggunakan agama untuk melepaskan diri.

"Lagi satu, tak perlu guna agama untuk melepaskan diri dan menjadikannya alasan. Jangan samakan dengan Rasulullah SAW kerana baginda berbeza dengan kita yang hidup di zaman ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 5:24 PM