RUSSELL (kanan) perlu tingkatkan aksi.
RUSSELL (kanan) perlu tingkatkan aksi.

Georgetown: Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) menyambut baik cadangan legenda bola sepak negara Datuk Shukor Salleh berhubung prestasi tiga pemain import yang dilihat gagal memberi sebarang impak.

Presiden FAP Zairil Khir Johari berkata, semua keputusan mengenai pemain akan dibuat ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan selepas berbincangn dengan jawatankuasa pro pasukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, pandangan legenda bola sepak negara itu amat dihormati dan segala-galanya akan diserahkan kepada ketua jurulatih untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini tiada sebarang keputusan dibuat berikutan Zainal Abidin baru memulakan tugas sebagai ketua jurulatih Isnin lalu dengan semua pemain sedang giat menjalani latihan.

“Beberapa rombakan turut dilakukan FAP termasuk melantik Zainal dan juga pelantikan seorang lagi legenda negara, Lim Chuan Chin yang akan mengendali latihan sebagai jurulatih untuk penjaga gol.

“Saya yakin dan percaya kredibiliti yang ada pada kedua-dua mereka selain gandingan mereka akan membangkitkan semangat pemain untuk mempertingkatkan tahap prestasi masing-masing,” katanya.

Kelmarin, Shukor mencadangkan FAP menghantar pulang kesemua tiga pemain import, Nigel Dabinyaba, Diogo Ferreira dan Andrew James Russell yang dilihat pembelian mereka adalah sesuatu yang merugikan dan tidak berbaloi.

Shukor juga memberitahu selain satu pembaziran dan juga kegagalan bekas ketua jurulatih, Ashley Westwood juga memberi tamparan hebat buat Pulau Pinang yang kini berada di tangga tercorot Liga Super 2017 dengan hanya memiliki dua mata daripada lapan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 7:21 AM