Westwood (empat kiri) bersama tujuh pemain baru (dari kiri) Amirul Asyraf, Zulkhairi dan Andrew James serta Diogo Alexandre, Nigel Dabinyaba, Reuben dan Shazalee. FOTO HM/MIKAIL ONG
Westwood (empat kiri) bersama tujuh pemain baru (dari kiri) Amirul Asyraf, Zulkhairi dan Andrew James serta Diogo Alexandre, Nigel Dabinyaba, Reuben dan Shazalee. FOTO HM/MIKAIL ONG
BERNAMA

Georgetown: Bekas pemain pertahanan bawah umur 23 tahun (B-23) Australia, Diogo Alexandre Alves Ferreira adalah antara tiga pemain import memperkuatkan skuad Pulau Pinang menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Ferreira, 27, dilahirkan di Footscray, Melbourne sebelum ini beraksi untuk kelab Persib Bandung dalam Liga Indonesia.

Dua lagi pemain import Pulau Pinang adalah pemain sayap kebangsaan Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba, 24 dan pemain kebangsaan Hong Kong, Andrew James Russell, 29 yang beraksi di posisi tengah.

Ketiga-tiga pemain itu diperkenalkan kepada media oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bersama lima lagi pemain tempatan baharu termasuk penyerang kebangsaan, Yong Kuong Yong, 28, dan bekas pertahanan negara, K Reuben, 26.

Tiga lagi anggota baharu adalah pemain pertahanan skuad B-22 negara, Muhammad Zulkhairi Zulkeply, 21, bekas penjaga gol Universiti Sains Malaysia FC, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi, 22, dan bekas pemain tengah Kuantan FA, Shazalee Ramlee, 22.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood akan mengubah sistem dalam skuad itu termasuk waktu latihan dan intensiti latihan.

"Kami sedang melakukan perubahan. Latihan akan mengambil masa lebih lama dan intensitinya juga ditingkatkan," katanya pada majlis pengumuman lapan pemain terbabit.

Westwood menegaskan semua pemain harus mempunyai sikap yang baik untuk memastikan kejayaan pasukan itu dalam Liga Malaysia.

"Saya boleh melatih pemain tanpa mengira kemampuan mereka. Kami mahu melihat sikap pemain, mereka perlu profesional untuk diserapkan dalam sistem yang cuba diperkenalkan," katanya.

Beliau berkata tumpuan utamanya adalah untuk meningkatkan keupayaan pasukan musim ini berbanding pungutan mata atau kedudukan dalam liga.

"Saya cukup positif jika mereka (pemain) bekerja keras dan mempunyai sikap yang baik serta melaksanakan tugas mereka, semuanya pasti akan menjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:30 PM