FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Pengurus ladang sawit didakwa atas 15 pertuduhan memperdagangkan manusia di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

L Ganis, 43, didakwa memperdagangkan 15 individu, termasuk dua remaja lelaki bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan cara ancaman dan kekerasan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari April 2016 hingga Februari 2017 di Ladang Koperasi Kelapa Sawit Sdn Bhd, Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, dekat sini, membabitkan mangsa antara 13 hingga 66 tahun.

Semua pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Jayanthi di depan Majistret Noorhidayah Mohd Saad, mengikut Seksyen 12, 13 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Tertuduh turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 kerana memiliki tatu lambang kumpulan kongsi gelap Geng 04.

Bagaimanapun, Ganis yang diwakili peguam SM Karunananthan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan minta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh dengan alasan pertuduhan yang dihadapi Ganis adalah kes serius dan mangsa adalah warga tempatan dikenali tertuduh yang dikhuatiri akan menganggu mangsa.

Karunananthan pula meminta mahkamah membenarkan tertuduh dijamin jamin kerana kes dihadapinya adalah kes yang layak diberi jaminan.

Selain itu, katanya, tertuduh mempunyai keluarga yang perlu ditanggung dan hidap penyakit jantung serta mahkamah boleh keluarkan perintah larangan tertuduh menghampiri mangsa.

Noorhidayah kemudian menetapkan Isnin ini, untuk pertuduhan dibacakan semula terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Menurutnya, keputusan sama ada jaminan akan diberi kepada tertuduh hanya akan diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen.

Pada 26 Februari lalu, portal berita Harian Metro melaporkan Polis Perak menyelamatkan 18 individu, termasuk lima kanak-kanak dipercayai mangsa buruh paksa di ladang kelapa sawit di Kampung Tasek.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, pada kira-kira 1 pagi, 26 Februari.

Polis kemudian menahan suami isteri masing-masing berusia 44 dan 24 tahun dipercayai dalang sindiket pemerdagangan manusia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 1:21 PM