NICOL David
NICOL David
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Britain apabila mengalahkan Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat semalam.

Dia hanya mengambil masa 30 minit untuk menang 11-7, 11-7, 11-4 ke atas lawan yang dikalahkannya pada perlawanan akhir Terbuka Ciudad de Floridablanca, seterusnya menamatkan kemarau 18 bulan tanpa gelaran 12 Mac lalu.

Menanti Nicol pada pusingan kedua hari ini Joey Chan dari Hong Kong yang berjaya menumpaskan pemain berpengalaman, Jenny Duncalf dari England 11-2, 11-6, 11-7.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, selepas bertemu dengan Olivia di Colombia sebelum ini, dia mendapati lawannya itu berasa lebih selesa dan memberi tentangan sengit sejak awal saingan.

“Memang saya mendapat tentangan sengit sejak awal dan saya perlu mengekalkan corak permainan saya serta melakukan apa yang harus saya lakukan,” katanya yang pernah muncul juara Terbuka Britain sebanyak lima kali (2005, 2006, 2008, 2012 dan 2014).

Kata Nicol, selepas diberi tentangan pada dua set awal, dia mula mendapat rentak dan beraksi lebih selesa pada set terakhir seterusnya memenangi aksi pusingan pertama di Arena Airco, Hull.

“Ini kejohanan yang berprestij sepanjang jelajah dan banyak sejarah tercatat di sini. Ramai yang menghargai siapa yang menang dan beraksi di sini, jadi saya tidak melepaskan peluang untuk menikmati kejohanan ini sebaik-baiknya,” kata pemain berusia 34 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 11:21 AM