NICOL (kiri) raih trofi ke-81 dalam karier.
NICOL (kiri) raih trofi ke-81 dalam karier.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penantian Datuk Nicol David untuk menjulang trofi akhirnya berakhir apabila berjaya muncul juara pada kejohanan Ciudad de Floridablanca di Colombia selepas mengalahkan Olivia Blatchford dari Amerika Syarikat dalam perlawanan akhir, semalam.

Selepas lebih dua tahun kemarau kejuaraan, bekas pemain nombor satu dunia itu berjaya menamatkan badi selepas menumpaskan Olivia 11-3, 11-4, 11-8 dan paling menarik ia trofi ke-81 yang diraihnya sepanjang karier.

Kali terakhir Nicol meraih kejuaraan pada 6 Disember 2015 apabila menumpaskan Laura Massaro dari England 15-13, 11-9, 11-3 untuk menjuarai Terbuka Hong Kong dan semalam juara dunia lapan kali itu memberi sedikit bayangan bahawa dia cuba untuk bangkit semula.

“Saya berasa gembira merangkul kejuaraan ini selepas sudah sekian lama (tidak memenangi sebarang kejohanan). Saya rasa ia sangat istimewa untuk meraih kejuaraan ini buat kali pertama di sini. Tempat ini akan meninggalkan kenangan manis di dalam hati saya,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

Jelasnya, penduduk di Floridablanca termasuk Datuk Bandar semuanya memberikan sokongan padu terhadap penganjuran kejohanan itu dan kehadiran beberapa pemain terbaik dunia.

“Terima kasih kepada masyarakat di sini, terdapat begitu banyak sokongan diberikan dan semua sudah bekerja keras untuk menjadi kejohanan ini sangat luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Olivia berasa ia satu penghormatan tinggi bertemu pemain terbaik dalam sukan skuasy dan ia satu perjalanan yang luar biasa buat dirinya.

“Berentap dengan Nicol yang juga idola saya adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Aksi yang berlangsung di Parque el Santisimo itu memperlihatkan Nicol bermula dengan garang berbanding Olivia apabila dia buat kali pertama beraksi di pentas akhir di kejohanan besar.

Bagaimanapun, penguasaan Nicol dalam gelanggang sedikit terganggu apabila perlawanan terpaksa ditangguh selama 40 minit di set terakhir apabila hujan lebat ketika kedua-dua pemain terikat 6-6.

Selepas bersambung semula pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak menoleh ke belakang untuk mencatat kemenangan seterusnya meraih kejuaraan yang amat bermakna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:38 AM