Anggota penguat kuasa PBT Pengerang menyita barangan perniagaan yang dijalankan peniaga warga asing di Kampung Sungai Kapal, Pengerang. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Anggota penguat kuasa PBT Pengerang menyita barangan perniagaan yang dijalankan peniaga warga asing di Kampung Sungai Kapal, Pengerang. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Pengerang: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang menyita sembilan gerai dan tujuh premis perniagaan yang dijalankan warga asing di Jalan Sungai Rengit-Pengerang dekat Kampung Sungai Kapal, Kota Tinggi, hari ini.

Tindakan itu dibuat dalam operasi bersepadu yang pertama kali diadakan PBT itu sejak ia ditubuhkan pada 1 Januari lalu.

Timbalan Yang Dipertua PBT Pengerang, Abdul Malik Ismail berkata, pihaknya bertindak sedemikian selepas menerima 132 aduan terhadap pelbagai kesalahan membabitkan warga asing di kawasan terbabit sejak Januari lalu.

Katanya, ia termasuk masalah lokasi perniagaan tidak terurus, penempatan haram pekerja, masalah kesesakan trafik, penyakit, kebersihan dan isu sosial.

"Notis mengosongkan kawasan atau memberhentikan operasi perniagaan sudah diberikan, malah ada yang tidak mengendahkannya. Maka, apabila tempoh diberikan tamat, kita mengambil tindakan tegas.

"Kita memandang serius perkara ini kerana mereka yang bukan warga tempatan tidak boleh berniaga," katanya ketika sidang media selepas Operasi Bersepadu Peniaga Warga Asing dan Peniaga Tempatan Tanpa Lesen di Kampung Sungai Kapal, di sini, hari ini.

Antara yang disita dalam operasi itu ialah kedai makan, kedai runcit serta kedai gunting rambut dan semua barangan jualan dirampas.

Pejabat Kesihatan Kota tinggi turut mengeluarkan kompaun RM500 kepada sebuah kedai selepas didapati menjual rokok seludup.

Lima lelaki Bangladesh dan seorang Pakistan berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Abdul Malik berkata, pihaknya bertindak tegas kerana warga asing berniaga tanpa lesen dengan berleluasa.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi bersepadu itu secara berperingkat dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan isu yang timbul di sekitar kawasan pentadbiran PBT Pengerang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 4:37 PM