Oleh Mohd Sabran Md Sani


Pengerang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 14 lagi kru kapal korek yang hilang selepas kapal dinaiki karam dalam kejadian di perairan Betting Ramunnia, 8.6 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang, Kota Tinggi, diteruskan pagi ini.

Pengarah Operasi Daerah Maritim (APMM) 7, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, operasi bersepadu jam 7 pagi tadi membabitkan beberapa agensi penguatkuasa.

"Ia membabitkan sebuah kapal APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut, selain dua bot laju milik APMM.

"Bagi memudahkan usaha menarik kapal karam, sebuah kapal penarik milik Jabatan Laut turut digunakan," katanya ditemui di Jeti Pengelih di sini, pagi ini.

Mustafa berkata, sehingga 11 pagi ini, pihaknya belum menerima sebarang petunjuk baru berhubung kejadian membabitkan semua kru kapal korek itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 1:25 PM