Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Imigresen Johor cekup 46 warga asing dalam serbuan di 11 premis perniagaan di Kampung Sungai Kapal, Pengerang.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Johor, Masri Adul, berkata Ops Sapu dijalankan dengan kekuatan 52 pegawai bermula 11.30 pagi semalam.

Beliau berkata, serbuan mendapati warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial, pasport tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan.

Menurutnya, mereka didapati berniaga tanpa lesen, bekerja di tapak binaan dan restoran.

Katanya, kebanyakan mereka menyewa di rumah milik penduduk tempatan.

"Mereka yang ditahan termasuk 20 warga Indonesia, lapan warga India, tujuh warga Pakistan dan 11 dari Bangladesh.

"Kesemua warga asing itu termasuk 38 lelaki dan lapan perempuan berusia antara 19 hingga 50 tahun.

"Mereka dibawa ke Kompleks Setia Tropika untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan mengikut Seksyen 17(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 11:34 AM