Mohamed Farid Noh


KAWASAN Gelang Patah, Iskandar Puteri, ibarat ditawan warga asing apabila deretan kedai dikuasai pendatang asing sejak lebih lima tahun lalu, sekali gus mendatangkan kebimbangan penularan wabak Covid-19 di kawasan itu.

Tinjauan di kawasan perniagaan Medan Nusa Perintis 1, Gelang Patah, mendapati terdapat lebih 20 premis perniagaan atau kedai dikendalikan warga Bangladesh dan Pakistan secara terbuka.

Antara perniagaan dijalankan mereka termasuk kedai runcit, pakaian, restoran, kedai serbaguna selain kedai karpet dan perhiasan rumah.

Lebih berani, mereka turut memasang poster mengiklankan pelbagai perkhidmatan ditawarkan termasuk penghantaran pulang wang ke negara mereka dalam bahasa ibunda masing-masing, sekali gus menjadikan kawasan di situ seperti berada di negara asing.

Penduduk, Mohd Hafiz Daud, 39, berkata kewujudan deretan kedai warga asing itu menimbulkan kerisauan kepada penduduk tempatan di sebalik penularan wabak Covid-19 di negara ini yang turut dikaitkan dalam kalangan pendatang asing.

"Penduduk pernah membuat aduan dahulu, tetapi isu ini tidak pernah diselesaikan sehingga menimbulkan persoalan dari mana mereka mendapat lesen berniaga.

"Sekarang dengan kebimbangan terhadap wabak Covid-19, kami berharap pihak berkuasa mengambil serius masalah ini apatah lagi kawasan ini seolah-olah menjadi tempat mereka berkumpul setiap kali waktu petang dan malam, dengan kebanyakannya tidak memakai pelitup muka pun.

"Tidak mustahil kawasan Gelang Patah akan jadi lubuk wabak yang bakal meletup pada bila-bila masa jika pihak berkuasa menutup sebelah mata mereka sahaja, " katanya ketika ditemui.

Penduduk, Azizah Sapari, 47, berkata perniagaan warga asing di situ bertahan lama berikutan disokong komuniti mereka sendiri yang bekerja di kawasan perindustrian sekitar.

"Kalau orang luar datang sini mesti mereka akan panggil kawasan ini sebagai Mini Bangladesh kerana deretan kedai di sini semuanya kedai milik warga berkenaan.

"Orang kita memang tidak berbelanja di situ kerana suasana deretan kedai kotor dan menjijikkan disebabkan mereka tidak pandai menjaga kebersihan, sekali gus mencemarkan suasana kawasan ini, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, kerajaan Johor akan memastikan tidak ada lagi warga asing yang berniaga termasuk menjadi penjaja atau diambil bekerja di mana-mana pasar awam selain premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Katanya, tindakan tegas itu diperkasakan dengan lebih agresif selepas mengambil kira masa depan peniaga tempatan berikutan keadaan ekonomi kini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Semua 16 PBT di Johor ini akan ditugaskan untuk menyemak status peniaga sedia ada serta melakukan pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja PBT Negeri Johor.

"Peniaga warga tempatan boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya menyewa atau memberikan lesen atau permit perniagaan mereka kepada warga asing yang mahu berniaga.

"Kerajaan Negeri di bawah PBT boleh mengambil tindakan seperti pembatalan lesen niaga dan melucut hak pemilikan premis perniagaan PBT yang diberikan kepada warga tempatan jika didapati memberi peluang berniaga kepada warga asing.

"Ia termasuk warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing dan kita tidak mahu sekiranya operasi dilakukan, warga asing ini boleh berlindung dan tidak mahu bertanggungjawab dengan memberikan alasan mereka hanya diambil bekerja dan bukan sebagai orang yang mengendalikan aktiviti perniagaan itu," katanya.

Warga Bangladesh dan Pakistan secara terbuka berniaga di kedai runcit, pakaian, restoran, kedai serbaguna selain kedai karpet dan perhiasan rumah. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Warga Bangladesh dan Pakistan secara terbuka berniaga di kedai runcit, pakaian, restoran, kedai serbaguna selain kedai karpet dan perhiasan rumah. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 3:01 PM