Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) berada pada landasan terbaik untuk menyamai rekod legenda, mendiang Datuk Eddy Choong apabila mara ke final Seluruh England selepas mengalahkan Chou Tien Chen dari Taiwan di separuh akhir malam tadi.

Bagaimanapun, pilihan utama kejohanan itu menghadirkan resah buat peminat tempatan apabila tumpas set pertama, namun menggunakan pengalaman serta rekod pertemuan yang memihak kepadanya, Chong Wei mencatat kemenangan 10-21, 21-14, 21-9 yang memakan masa 59 minit.

Chong Wei yang menghuni ranking nombor satu dunia bermula agak perlahan dan melakukan beberapa kesilapan mudah di set pertama, sehingga membenarkan Tien Chen menguasai hampir segenap penjuru gelanggang.

Bersambung set kedua, Chong Wei mula mendapat rentak dan keyakinan, manakala Tien Chen yang menghuni ranking kesembilan dunia serta masih segar dengan kejuaraan Terbuka Jerman minggu lalu, tewas 21-14.

Set penentuan ternyata milik Chong Wei apabila pada satu ketika meraih tujuh mata berturut-turut ketika mendahului 7-4 dengan lawannya berusia 27 tahun itu sudah tidak terdaya untuk bangkit melawan.

“Saya sangat gembira dengan prestasi Chong Wei kerana sebelum ini kita semua tahu dia hampir tidak menyertai kejohanan ini. Saya masih rasa dia masih belum sampai tahap 100 peratus tapi ini sudah cukup bagus. Dia tidak mendapat latihan mencukupi tapi masih mampu mara ke final.

“Latihan yang lengkap hanya dilakukan seminggu sebelum ke sini. Jadi saya cukup gembira dengan pencapaiannya ini. Sekarang kita belum tahu siapa lawannya tapi semua mengharapkan satu aksi final yang menarik esok (hari ini),” kata jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock.

Kemenangan Chong Wei ke atas Tien Chen menyaksikan naib juara Seluruh England 2009, 2012 dan 2013 itu terus melebarkan rekod pertemuan kepada 6-0.

Jika berjaya muncul juara perlawanan akhir hari ini, Chong Wei, 35, akan menyamai rekod Eddy yang meraih kejuaraan sebanyak empat kali pada 1953, 1954, 1956 dan 1957.

Sebelum ini Chong Wei pernah muncul juara kejohanan bertaraf Siri Super ini pada 2010, 2011 dan 2014, manakala tahun lalu terkandas di pusingan pertama apabila kalah kepada BS Praneeth dari India, 22-24, 20-22.

Ini kejohanan pertama Chong Wei pada 2017 dengan dia hampir menarik diri kerana mengalami kecederaan ligamen lutut kiri bulan lalu namun mendapat lampu hijau daripada fisioterapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Sandra Fiedler untuk menyertainya pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:16 AM