ZII JIA mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain India, Priyanshu Rajawat. -FOTO NSTP
ZII JIA mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain India, Priyanshu Rajawat. -FOTO NSTP
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan kempen di Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung di Ningbo, China dengan langkah kanan.

Diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, Zii Jia tidak berdepan masalah apabila hanya memerlukan 39 minit untuk menunjukkan jalan keluar kepada pemain India, Priyanshu Rajawat straight set 21-9, 21-13.

Ia adalah pertemuan pertama membabitkan kedua-dua pemain yang sebelum belum pernah bertemu di mana-mana pertandingan antarabangsa.

Menanti Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-11 dunia adalah lawan dari Taiwan Chou Tien Chen.

Tien Chen mara ke pusingan kedua selepas memperoleh kemenangan percuma apabila wakil tuan rumah, Weng Hong Yang menarik diri selepas set pertama berkesudahan dengan kekalahan 16-21.

Di atas kertas perlawanan dilihat seimbang namun rekod lebih memihak kepada lawan dari Taiwan itu dengan lima kemenangan berbalas tiga.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu pernah bertemu adalah di saingan peringkat Kumpulan C Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China dengan kemenangan berpihak kepada Zii Jia, 21-14, 23-21.

Untuk rekod, Zii Jia pernah muncul juara di BAC 2022 yang berlangsung di Manila, Filipina dan pada ketika itu, pemain berusia 26 tahun itu menewaskan lawannya dari Indonesia, Jonatan Christie 21-17, 23-21 di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 12:31 PM