LIU YING  (kanan) dan Peng Soon tidak letakkan sebarang sasaran di Terbuka India.
LIU YING (kanan) dan Peng Soon tidak letakkan sebarang sasaran di Terbuka India.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kalah pada perlawanan akhir Seluruh England masih lagi tidak dapat dilupakan pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying namun dia berazam untuk menukar peristiwa hitam itu sebagai satu semangat baru menjelang Siri Super Terbuka India minggu depan.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, walaupun tidak dapat melupakan kekalahan kepada pasangan China, Lu Kai-Huang Yaqiong tetapi sebagai seorang pemain profesional dia harus terus memandang ke depan dan berazam untuk melakar lebih banyak kejayaan.

“Tak boleh tidur lena saya dibuatnya tapi saya anggap ia sebagai satu motivasi terutama menjelang Terbuka India minggu depan (28 Mac hingga 2 April) dan saya bersama Chan Peng Soon akan terus berjuang lagi,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, walaupun tumpas pada perlawanan akhir Seluruh England, dia tidak menoleh ke belakang sebaliknya menyambung latihan keras seperti biasa dan pada masa sama berhati-hati mengenai tahap kecergasan terutama keadaan lututnya.

“Kami masih lagi berlatih dan cuba untuk menenangkan perasaan sebaik pulang dari Seluruh England, muncul naib juara juga tetap menggembirakan saya. Menempuhi tiga kejohanan bertaraf Siri Super secara berturut-turut memang sangat memeritkan tapi kami cuba memberikan yang terbaik.

“Baik di Seluruh England, Terbuka India mahupun Terbuka Malaysia, kami tidak meletakkan sebarang sasaran hanya berazam mahu memberikan permainan terbaik,” katanya yang turut terbabit dalam filem bertajuk Goodbye Mr Loser bersama Peng Soon yang mula ditayangkan di pawagam semalam.

Peng Soon-Liu Ying akan memulakan aksi pusingan pertama Terbuka India bertemu pasangan tuan rumah Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan.

Selepas muncul naib juara Seluruh England, kedudukan ranking dunia mereka melonjak dua anak tangga minggu lalu apabila menduduki tempat keenam, manakala satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kekal di kedudukan kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 8:46 AM