SIBUK melayan pelanggan serta memberikan khidmat rundingan.
SIBUK melayan pelanggan serta memberikan khidmat rundingan.
SHAZRINA belajar daripada Internet dan majalah reka jenama sendiri.
SHAZRINA belajar daripada Internet dan majalah reka jenama sendiri.
SHAHZRINA menunjukkan antara koleksi yang mendapat perhatian pelanggan.
SHAHZRINA menunjukkan antara koleksi yang mendapat perhatian pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Sehelai skirt mampu merubah penampilan anda. Caranya dengan melakukan teknik suai padan mengikut pilihan warna kemudian gayakan dengan blaus, kemeja atau kemeja-T.

Padanan sebegini tidak hanya untuk menghadiri acara kasual saja, sebaliknya jika kena caranya ia boleh dipakai untuk menghadiri acara rasmi.

Menyedari kegilaan wanita terhadap skirt mendorong Shahzrina Shahrir menghasilkan jenama sendiri, Syaz De’ Closet yang menyediakan skirt pelbagai warna termasuk busana seperti blaus, kemeja, jubah, gaun labuh dan tudung.

Bermula dengan perniagaan dalam talian, dia mula memperkenalkan skirt pertama menggunakan fabrik rayon menerusi laman Facebook. Kemudian selepas memahami jenis fabrik, dia mula menambah kepada song­ket tenun. Tidak sangka skirt berpotongan A mula mendapat perhatian pelanggan disebabkan keselesaan menjadikan si pemakai lebih anggun dan bergaya.

Jelas Shahzrina, fabrik berasaskan songket nampak lembut, sekali gus memberikan gaya tersendiri terutama apabila dipadankan dengan blaus.

“Pada masa kini, kebanyakan wanita pasti mempunyai sehelai skirt yang boleh digayakan dengan blaus dan kemeja. Ia bukan saja untuk wanita berkerjaya, tetapi sesiapa juga boleh memakainya,” katanya.

Dia yang juga pencinta skirt menjelaskan, untuk setiap rekaan dia sangat berhati-hati ketika menghasilkannya. Ini kerana potongan skirt harus kena dengan gaya iaitu tidak boleh terlalu besar atau lebar. Jika salah potongan menyebabkan penampilan kurang menyerlah.

“Saya lebih suka menghasilkan skirt berpotongan duyung kerana ia sesuai untuk semua lapisan usia. Potongan A pula mampu menutupi kekurangan tubuh terutama mereka yang berbadan besar manakala skirt kembang payung sesuai untuk gadis tinggi lampai,” katanya.

Selain songket, fabrik lycra juga sesuai dijadikan skirt begitu juga sifon. Namun kedua-dua fabrik ini mempunyai teknik tersendiri ketika memotongnya bagi mengelak menampakkan susuk tubuh apabila dipakai. Begitu juga dengan sifon yang perlu diletakkan bersama alas kain.

Dia yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang rekaan hanya menjadikan medium Internet dan majalah sebagai bahan rujukan. Menerusi pembacaan dan pemerhatian fesyen terkini dari luar negara, wanita ini mula menghasilkan rekaan mengikut cita rasa wanita tempatan. Apa yang penting, pakaian harus menutup aurat dan tidak terlalu ketat.

Selain skirt, Syaz De’ Closet turut menyediakan padanan jubah sekuin, jubah polos dan kimono pada harga di bawah RM200.

Untuk jubah, Shahzrina menggunakan fabrik satin, sifon dan satin crepe yang beralun dan terletak cantik pada tubuh si pemakai. Setiap jubah diletakkan zip dan butang pada bahagian dada manakala tangan juga dijahit zip supaya mudah mengambil wuduk.

“Dalam perniagaan paling penting sentiasa mengikuti perkembangan fesyen semasa serta mengambil tahu cita rasa pelanggan. Misalnya kini, ramai ibu menyusukan bayi mereka. Justeru, busana yang dihasilkan harus sesuai dengan kehendak mereka,” katanya.

Menawarkan ukuran bermula daripada S, M dan L, Shazrina mempunyai beng­kel jahitan sendiri yang me­nyediakan semua koleksi miliknya. Pada masa depan, dia berharap mampu menambah cawangan Syaz De’ Closet untuk kawasan di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 12:26 PM