Perancis : Agensi penyiasat nahas dari Perancis akan menghantar pakar untuk mengesan kotak hitam dengan kelengkapan yang sesuai di kawasan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dilaporkan terhempas.

Menurut pihak berkuasa penyiasatan keselamatan, Bureau d'EnquĂȘtes et d'Analyses (BEA), pasukan berkenaan akan tiba awal pagi Jumaat.

Agensi berkenaan membantu penyiasatan sebarang nahas udara membabitkan pesawat Airbus kerana syarikat pengeluar pesawat berkenaan berpangkalan di Perancis.

"Pada awal pagi 2 Januari, kapal akan membawa pasukan penyiasat ke kawasan carian dan mereka turut membawa alat pengesan termasuk hidrofon dalam usaha mengesan isyarat akustik daripada dua perakam data pesawat (flight data recorder)," kata BEA dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, laut bergelora di kawasan pencarian menyebabkan pasukan penyelam tidak dapat menghampiri lokasi yang dikatakan terdapatnya bangkai pesawat AirAsia Indonesia dan wakil jabatan penerbangan berkata tempoh lebih kurang seminggu diperlukan untuk menemui kotak hitam pesawat.

Pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas di Laut Jawa Ahad lalu ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura.

Setakat ini 16 mayat sudah ditemui. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 3:08 PM