PIHAK berkuasa mengangkut serpihan pesawat yang belum dikenal pasti di Pulau Reunion dekat Madagascar. FOTO AFP
PIHAK berkuasa mengangkut serpihan pesawat yang belum dikenal pasti di Pulau Reunion dekat Madagascar. FOTO AFP

KUALA LUMPUR: Serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi awal hari ini (waktu Malaysia) kini sedang disiasat pakar, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC).

Agensi itu berkata, Malaysia bertanggungjawab ke atas siasatan dan sedang menguruskannya dengan bantuan Boeing, BEA (Bureau d'Enquêtes et d'Analisis pour la Sécurité de l'Aviation civile), PBiro Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.

"Sekiranya bangkai tersebut dikenal pasti sebagai daripada MH 370 di Pualu Reunion, ia menjadi konsisten dengan analisis lain dan menjadi model bahawa tempat pesawat itu bersemadi adalah di selatan Lautan Hindi," kata JACC dalam satu kenyataan, awal pagi (waktu Malaysia), hari ini.

Agensi yang menyelia operasi mencari pada ketika ini di selatan Lautan Hindi berkata, sebarang bukti baru yang ditemui akan digunakan untuk terus memaklumkan dan memperbaiki usaha pencarian yang sedang berjalan.

Beberapa imej serpihan bangkai dipercayai daripada sirip Boeing 777 tersebar dalam pelbagai media sosial, memberi harapan baharu mengesan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang itu.

Serpihan bangkai itu dilaporkan ditemui di La Reunion Island, di bawah pentadbiran Perancis, berhampiran Madagascar.

Airlive.net, laman web yang membawa berita dan maklumat mengenai industri penerbangan mengeluarkan tweet gambar serpihan bangkai dan memuat naik status 'BREAKING Piece of wing found on La Réunion Island, could that be flap of #MH370? (serpihan sayap ditemui di La Reunion Island, mungkinkah ia sayap #MH370?)

Ia juga menyatakan dalam laman webnya bahawa siasatan kini dibuka untuk menentukan asal-usul trek penerbangan dengan tiga hipotesis disebutkan.

Selain daripada serpihan yang mungkin cebisan MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi, laman web itu melaporkan penyiasat meletakkan kebarangkalian bahawa ia mungkin datang daripada kemalangan enjin kembar yang terhempas pada 4 Mei 2006 dekat dengan pantai di selatan pulau itu, atau sebahagian serpihan A310 Yemenia yang terhempas di luar Comoros pada Jun 2009.

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pada 29 Jan tahun ini, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai satu kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat itu dianggap telah terkorban. - Bernama

Berita berkaitan

> Malaysia hantar pasukan ke Pulau Reunion: http://hmtro.com/1DQwG0s

> Terlalu awal buat spekulasi: http://hmtro.com/1H4t37m

> ‘Sama tapi belum pasti’: http://hmtro.com/1ShcpgG

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 11:34 AM