Kuala Lumpur: Pesawat AirAsia QZ8501 mencatat lebih kurang 23,000 jam penerbangan membabitkan 13,600 penerbangan, kata pengeluar pesawat
Airbus dalam kenyataan semalam.

Syarikat Eropah itu berkata pesawat A320-200 berkenaan, yang mampu membawa 180 penumpang, diserah kepada syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia pada Oktober 2008.

Ia didaftarkan sebagai PK-AXC dengan MSN (Nombor Siri Pengeluar) 3648 dan beroperasi mengikut servis berjadual.

A320-200 adalah pesawat dua enjin satu lorong, kata Airbus yang beribu pejabat di Toulouse, Perancis. Pesawat jenis A320 ini memulakan perkhidmatannya pada Mac 1988.

Menjelang akhir November 2014, lebih 6,000 pesawat jenis ini digunakan lebih 300 syarikat penerbangan.

“Airbus akan memberi bantuan penuh kepada pihak berkuasa penyiasatan keselamatan, Bureau d’Enquêtes et d’Analyses (BEA) dan pihak berkuasa bertanggungjawab mengendalikan penyiasatan,” kata Airbus.

Syarikat itu berkata, maklumat terkini akan diumumkan apabila ia disahkan dan diluluskan pihak berkuasa.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:15 AM