Bomba berusaha memadamkan api yang memusnahkan  2,000 rumah  setinggan.
Bomba berusaha memadamkan api yang memusnahkan 2,000 rumah setinggan.
Agensi

Manila: Kebakaran besar dipercayai berpunca daripada mercun dan bunga api menyebabkan tiga orang terbunuh dan memusnahkan ratusan rumah di sebuah kawasan setinggan di bandar raya ini semalam.

Ia satu daripada kejadian kebakaran yang dilaporkan di seluruh Filipina ketika rakyat negara itu menyambut kedatangan tahun baru.

Pegawai sebuah perkampungan setinggan di pinggir bandar Quezon Noel Carino berkata, mercun dan bunga api itu dibakar oleh kanak-kanak dan kebakaran yang berlaku merebak dengan cepat menyebabkan rumah sepanjang lebih sekilometer di kawasan setinggan itu musnah.

Keadaan bertambah buruk apabila anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana lorong yang sempit.

“Ia tragedi memilukan untuk menyambut tahun baru,” kata Carino.

Ramai penduduk terpaksa menggunakan apa saja untuk menyeberang sungai bagi menyelamatkan barangan milik mereka.

Jurucakap bomba Renato Marcial berkata, sekurang-kurangnya 14 kebakaran dilaporkan di seluruh negara pada malam tahun baru.

Penduduk Filipina memang terkenal menyambut tahun baru dengan mengadakan parti liar.

Sementara itu, bunga api dan tembakan ketika sambutan tahun baru di negara itu turut menyebabkan 354 orang cedera dengan lebih 12 terpaksa menjalani pembedahan memotong anggota badan, termasuk budak lelaki berusia lima tahun.

Setiausaha Kesihatan Janette Garin berkata, jumlah kecederaan akibat sambutan tahun baru kali ini bagaimanapun adalah antara yang rendah dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, 351 orang cedera akibat mercun manakala tiga lagi terkena peluru sesat pada hari terakhir 2014.

Bagaimanapun, jumlah mereka yang terpaksa menjalani pembedahan memotong anggota badan mereka akibat cedera meningkat kepada 14 berbanding lapan tahun lalu.

Katanya, jumlah kecederaan berkurangan kerana kempen yang dilakukan pelbagai pihak terhadap pembakaran bunga api.

Ribut tropika Jangmi yang melanda wilayah tengah dan selatan negara itu juga membantu mengurangkan jumlah kemalangan.

Sambutan ketibaan 2014 lalu menyaksikan sekurang-kurangnya dua terbunuh dan 793 lain cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:09 AM