Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani diiringi Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) beramah mesra dengan peserta ketika majlis perasmian Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2017 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani diiringi Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) beramah mesra dengan peserta ketika majlis perasmian Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2017 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani

Pasir Gudang: Seramai 1,022 peserta yang bertanding pada Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) 2017 Kali Ke-22 diperkenalkan secara rasmi pada majlis perasmian di Bukit Layang-Layang di sini, sebentar tadi.

Festival bertemakan 'Perkongsian Bersama Komuniti' itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azmi Rohani yang juga wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain memperkenalkan peserta tempatan dan antarabangsa, buku mengenai festival itu turut dilancarkan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) Hasrin Kamal Hashim.

Orang-ramai juga dipertontonkan persembahan layang-layang naga LED yang dihiasi laser di mata selain mempamerkan persembahan akrobatik di udara.

FLLSPG acara pelancongan anjuran Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dengan kerjasama Tourism Johor, Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dan Persatuan Pelayang Johor (PPJ).

Program itu turut mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Lebih 300,000 pengunjung dijangka hadir ke festival berlangsung lima hari sehingga Ahad ini, selain disertai 1,022 peserta yang bertanding dalam pelbagai kategori di Stadium Perbandaran Pasir Gudang sejak 21 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 11:40 PM