ADAM meraih mata dalam kedua-dua perlumbaan di Jerez. FOTO FB Adam Norrodin
ADAM meraih mata dalam kedua-dua perlumbaan di Jerez. FOTO FB Adam Norrodin
Aida Adilah Mat


TIGA pelumba negara yang beraksi di Kejuaraan Moto2 Eropah CEV di Litar Jerez menutup saingan dengan penuh warna warni.

Biarpun gagal menamatkan perlumbaan dikedudukan podium namun kejayaan meraih beberapa mata sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan.

Bekas pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin mengakui dunia permotoran ini sebenarnya bergantung pada tuah dan nyata tuah tidak memihak kali ini.

Namun pelumba kelahiran Johor itu berharap, aksi yang lebih baik pada penampilan seterusnya di Litar Aragon 3 Oktober depan.

"Saya sedikit kecewa dengan aksi saya di Jerez. Saya bermula dengan baik pada perlumbaan kedua saya. Tapi berlaku sentuhan dengan lawan menyebabkan saya ketinggalan di kelompok kedua dan ketika itu susah untuk saya kejar pelumba di bahagian depan yang sudah jauh ke depan.

"Perlumbaan pertama pula saya bermula dengan teruk. Sehari sebelum perlumbaan pula saya kemalangan. Tuah tak memihak kepada saya kali ini.

"Saya tahu dalam perlumbaan kita perlu juga tuah dan kali ini saya tak bertuah. Banyak benda berlaku tapi saya ambilnya dengan positif.

"Saya harap aksi saya di Aragon selepas ini akan lebih baik," kata Adam yang mewakili pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team.

Adam kini berkedudukan tempat kelapan dengan 42 mata dalam saingan Moto2 manakala Muhammad Syarifuddin Azman yang beraksi dalam saingan Moto3 kini berkedudukan tempat ke-14 dengan 13 mata.

Seorang lagi pelumba negara Muhammad Sharul Ezwan yang beraksi bersama Dynavolt Intact Gp SIC Junior Team gagal meraih sebarang mata.

Pelumba negara dijadualkan akan terus beraksi di pusingan seterusnya di Aragon Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:20 PM